Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor memberi jaminan bekalan petrol dan diesel di negeri ini mencukupi.
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Bukan ‘subsidi’ diterima sebanyak 30 sen seliter seperti Sabtu lalu, sebaliknya kini rakyat telah dikenakan cukai apabila membeli petrol.

Dalam erti kata lain kini rakyat yang memberi subsidi kepada Pakatan Harapan dan pada hari ini sebanyak 34 sen diberika untuk setiap liter RON95 yang dibeli.

Datuk Seri Najib Razak berkata, data terbaru hari ini menunjukkan bahawa RON95 jatuh kepada A$0.519 berbanding A$0.538 pada minggu lepas.

Menurut beliau, mengikut sistem Mekanisme Harga Automatik (APM) seperti dilaksanakan oleh BN, harga RON95 sekarang sepatutnya RM1.86 seliter berbanding ‘pembekuan’ oleh kerajaan Pakatan Harapan, RM2.20 sejak pilihan raya umum Mei yang lalu.

Tambah Najib, ini membuktikan Pakatan Harapan gagal menunaikan manifestonya sebelum ini untuk memberikan subsidi kepada rakyat malah apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Mengikut sistem Automatic Pricing Mechanism (APM) seperti dilaksanakan oleh BN, harga RON95 sekarang sepatutnya RM1.86 satu liter.

“Ini juga bermakna rakyat sedang memberi subsidi minyak sebanyak 34 sen untuk setiap liter kepada kerajaan PH sempena cuti sekolah dan musim perayaan kini.

“Kata nak bagi subsidi minyak kepada rakyat, rakyat juga yang beri subsidi kepada kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Hakikat ini masih enggan diakui oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menurut bekas Perdana Menteri itu lagi.

Malah Najib turut menyindir parti itu yang telah memansuhkan potongan harga tol di lebuhraya PLUS semasa perayaan setiap tahun seperti yang pernah dilakukan BN, bukti sebenarnya tidak akan berlaku pemansuhan tol seperti yang dijanji.

“Diskaun tol 10% sehingga 20% bagi lebuhraya PLUS seperti dilaksanakan oleh kerajaan BN setiap tahun untuk hari Krismas pun telah dimansuhkan tahun ini.

“Lagi nak janji untuk mansuhkan tol? Happy holidays!,” katanya lagi. – MalaysiaGazette