BEIJING – Mahkamah China menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang bekas pegawai polis perisik peringkat tinggi kerana menerima rasuah, urus niaga perniagaan secara ‘ancaman’ dan dagangan orang dalam.
Ma Jian yang pernah menjadi Naib Menteri di Kementerian Keselamatan Negara, adalah salah seorang pegawai keselamatan paling kanan yang akan dipenjara sejak Zhou Yongkang, bekas pemimpin kanan keselamatan China terjebak dalam skandal rasuah dan dipenjara seumur hidup pada tahun 2015.
Kes Ma dikaitkan dengan penjenayah China yang paling dikehendaki Guo Wengui.
Wengui yang hidup dalam buangan kini menetap di New York dan telah mendapat perhatian antarabangsa dengan dakwaan terhadap kepimpinan Parti Komunis.
Mahkamah Dalian dalam kenyataannya yang diperoleh dari laman sesawang berkata, ia telah mencapai keputusan atas alasan bahawa Ma telah mengambil sejumlah besar “rasuah”, dan kolaborasi dengan syarikat Guo dan perbuatan itu sangat serius.
Ma telah menggunakan kedudukannya untuk berkonspirasi dengan Guo dan membantu perniagaan Guo yang dikawal dengan menggunakan ancaman untuk membawa transaksi haram seperti memaksa individu memindahkan saham syarikat, kata mahkamah.
Ma telah menerima harta lebih daripada 100 juta yuan (AS$14.56 juta) hasil kerjanya dan memperoleh hampir 5 juta yuan daripada saham dagangan berdasarkan maklumat orang dalam, kata mahkamah.
Tertuduh telah menerima keputusan itu dan tidak akan mengemukakan rayuan, menurut kenyataan mahkamah.
Ma disiasat kerana melakukan rasuah pada tahun 2015 dan dipecat dari Parti Komunis pada tahun berikutnya selepas pendakwa menuduh dia campur tangan dalam aktiviti penguatkuasaan undang-undang yang tidak ditentukan.
Puluhan pegawai kanan telah disiasat atau dipenjara sejak Presiden Xi Jinping mengambil alih kuasa pada tahun 2012, selepas beliau berikrar untuk menghapuskan rasuah.
Kementerian Keselamatan Negara telah bertindak mengintip rakyatnya dan warga asing di dalam dan di luar negara. Ia adalah salah satu agensi yang paling misteri di China dan tidak mempunyai laman web awam atau jurucakap. – MalaysiaGazette