SHAH ALAM – Seorang bekas pegawai khas kepada seorang bekas menteri Kabinet dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM400,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima suapan RM80,000, empat tahun lepas.
Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa penjelasan yang dibuat tertuduh, Zailan Jauhari, 48, ke atas pendakwaan kes gagal menimbulkan keraguan munasabah kerana hujahan pembelaannya didapati tidak jujur serta langsung tidak dapat diterima dan hanyalah penafian semata-mata.
Rozilah turut memerintahkan Zailan dipenjara setahun lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Zailan didakwa menerima suapan bagi mana-mana orang lain iaitu wang tunai RM20,000 dan sekeping cek bernilai RM60,000 sebagai upah kerana membantu dua syarikat mendapatkan tender bagi kerja-kerja pembersihan sekolah dalam daerah Kuala Selangor.
Dia yang pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada Februari 2014 didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Kuala Selangor, antara 7.30 malam dan 8 malam, pada 8 Jan tahun yang sama.
Zailan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, dalam rayuan untuk peringanan hukuman, peguam tertuduh, Md Yunos Shariff memohon mahkamah mengenakan tempoh penjara dan denda minimum ke atas anak guamnya memandangkan Zailan yang menghidap darah tinggi serta kencing manis kini hanya bekerja secara sambilan malah menanggung isteri serta tiga anaknya berumur 11, sembilan dan enam tahun.
Katanya, Zailan juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau malah telah insaf dengan perbuatan tersebut dan memberi kerjasama yang baik kepada SPRM sejak ditangkap empat tahun lepas.
Md Yunos juga memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara ke atas anak guamnya sementara membuat rayuan kes di Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Mohammed Heikal Ismail pula berkata walaupun Md Yunos memberikan hujahan mitigasi untuk meringankan hukuman Zailan, namun kesalahan yang dibuat tertuduh adalah serius dan wajar dijatuhi hukuman setimpal.
Rozilah bagaimanapun membenarkan permohonan penangguhan hukuman penjara tersebut dengan syarat tertuduh membayar denda serta memfailkan rayuan kes ke Mahkamah Tinggi hari ini dan beliau turut menaikkan jumlah jaminan daripada RM30,000 kepada RM50,000 dengan seorang penjamin.
— BERNAMA