Permainan mini yang dimainkan oleh selebriti media sosial terkemuka pada pratonton media "The Amazing Sunway City Challenge" di Sunway Resort & Spa, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 28 DISEMBER 2018.

PETALING JAYA – Kumpulan Sunway mengambil pendekatan baharu untuk mempromosikan produk-produknya untuk menarik pelancong ke Malaysia.

Program realiti terbaharu Sunway, The Amazing Sunway City Challenge, akan menampilkan selebriti media sosial berpengaruh mewakili 10 negara termasuk Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kompleks Beli Belah Sunway dan Taman Tema, HC Chan berkata, individu berpengaruh yang mempunyai 25 juta pengikut secara keseluruhan akan bersaing di sekitar Sunway City dalam usaha menjadi juara program realiti yang menawarkan Sunway Pals bernilai RM25,000 dan sebuah telefon pintar Samsung Galaxy Note9.

Katanya, sambil mengharungi cabaran program realiti anjuran Kumpulan Sunway itu, 10 peserta berkenaan juga secara tidak langsung membantu pihaknya mempromosikan tarikan utama yang disediakan Sunway.

“Daripada tanah bekas lombong yang terbiar seluas 800 ekar, Sunway berjaya mentransformasikan ia sebagai destinasi pelancongan utama untuk pengunjung berhibur dan berekreasi dengan kunjungan lebih 42 juta orang setahun antaranya Sunway Lagoon sebagai Taman Tema terbaik Asia serta kemudahan pendidikan dan kesihatan bertaraf antarabangsa.

“Penonton yang mengikuti program ini dalam YouTube dan perutusan media sosial akan dapat meneroka tarikan di Sunway City selain terhibur dengan gelagat selebriti yang sedang bertarung.

“Sejajar dengan kemajuan dunia digital tanpa sempadan yang begitu pesat membangun, Sunway melihat ia sebagai salah satu platform untuk menyajikan keunikan yang ada kepada dunia pelancongan.

“Justeru, penonton juga boleh menyertai peraduan yang akan dilancarkan dalam talian dan menerima tarikan yang disediakan untuk anda di Sunway,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran pribiu media program berkenaan di sini.

Tambah beliau, The Amazing Sunway City Challenge yang ditaja Samsung Electronics Malaysia dan Grab Malaysia akan ditayangkan pada Februari 2019 dalam empat episod web di Says.com IDN Times, ET Today, Line.tv, LUVE platform rasmi media sosial Sunway City dan WebTV Asia.

Beliau yakin episod berkenaan ditonton lebih 54 juta orang di laman sesawang di seluruh dunia.

Seramai 10 selebriti media sosial berpengaruh iaitu Jaa Suzuran dan Jenn Chia, Medyo Maldito (Filipina), RJ Abhinav dari India, Michelle Joan (Indonesia), Matthew Stewart (Singapura), Ironbull (Taiwan), SorDor Style (Thailand), Gong Yi (China), Hong Young Gee (Korea) dan Hadia Ghaleb dari Mesir akan menyertai program tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast