MUJAHIDPUR, India – Peningkatan harga bawang pada pilihan raya India sebelum ini telah menyebabkan berlakunya peralihan kerajaan.
Tetapi sekarang harga bawang menjunam.
Situasi itu menimbulkan kemarahan petani miskin hingga mereka berikrar mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Narendra Modi dalam pilihan raya umum tahun depan.
Harga bawang dan ubi kentang menjunam sejak beberapa minggu kebelakangan ini telah menjejaskan ekonomi luar bandar India.
Dalam wawancara Reuters bersama-sama dengan berpuluh-puluh petani minggu lepas, rata-rata mereka melahirkan kebencian terhadap Parti Bharatiya Janata (BJP) kerana tidak membantu pendapatan di penduduk di kawasan luar bandar yang menjadi penempatan majoriti 1.3 bilion penduduk India.
“Walau apa pun yang mereka lakukan pada bulan-bulan mendatang, saya akan menentang BJP, saya tidak akan mengulangi kesilapan 2014,” kata Madhukar Nagare, penanam bawang dari Nashik di negeri Maharashtra.
Pada pilihan raya negeri pada tahun 1998, harga bawah melonjak hingga menyebabkan BJP diangkat sebagai kerajaan.
Pada pilihan raya umum 1980, harga bawang tinggi membantu bekas Perdana Menteri Indira Gandhi melepaskan kerajaan campuran yang termasuk ahli politik dan kemudian membentuk BJP.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, para petani telah mengadakan demonstrasi, menghalang lebuh raya dan membuang bawang di jalan raya selepas harga bawang jatuh serendah satu rupee (AS$0.14) bagi sekilogram.
Para petani membelanjakan 8 rupee untuk setiap sekilogram bawang yang dihasilkan.
Meskipun harga bawang murah tetapi peranan orang tengah menyebabkan pengguna tidak mendapat kelebihan daripada harga murah.
Di Maharashtra, pengeluar utama bawang, harga ladang jatuh sebanyak 83 peratus, diburukkan lagi dengan lebihan bekalan daripada musim sebelumnya dan eksport yang lebih rendah dari Timur Tengah dan Asia Tenggara.
Manakala di Uttar Pradesh, kawasan yang paling ramai penduduk India, pula mengalami masalah dengan kejatuhan harga ubi kentang.
Ramai petani menyalahkan Modi kerana tidak menetapkan program perlindungan harga sehingga memberi keuntngan kepada orang tengah.
Malah, Perdana Menteri India turut dikritik kerana tidak menubuhkan lebih banyak kemudahan pemprosesan makanan dan penyimpanan sejuk supaya petani dapat menyimpan tanaman mereka tanpa perlu menjual dengan segera selepas musim menuai. – MalaysiaGazette