Suasana di hadapan wad kecemasan di mana pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dirawat akibat diserang strok haba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 17 OGOS 2018.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perlindungan Nasional B40 pada 1 Januari 2019 dengan dana permulaan sebanyak RM2 bilion.

Skim ini menawarkan perlindungan insurans dan takaful kesihatan secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang menghadapi penyakit kritikal dan menjalani rawatan hospital.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, skim yang diumumkan pada Belanjawan 2019 itu akan menyediakan perlindungan kesihatan secara percuma kepada penerima yang layak untuk 36 jenis penyakit kritikal.

WhatsApp Image 2018-12-28 at 16.12.49

Penerima bakal mendapat bayaran sehingga had RM8,000 yang diagihkan dalam tempoh masa yang akan diumumkan.

Skim ini juga memberi bayaran harian sebagai pendapatan gantian semasa rawatan hospital untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun pada kadar RM50 sehari atau bersamaan dengan RM700 setahun.

Dengan saiz dana sebanyak RM2 bilion sebagai permulaan, skim ini dijangka menawarkan perlindungan perubatan selama 5 tahun untuk kumpulan sasaran.

Kerajaan menjangka sebanyak 4.1 juta isi rumah B40 yang terdiri daripada individu-individu berumur di antara 18 hingga 55 tahun akan mendapat manfaat di bawah skim ini.

Katanya, pendaftaran dan perkhidmatan sokongan pelanggan akan beroperasi mulai 1 Mac 2019.

Pendaftaran boleh dilakukan secara elektronik melalui internet tanpa penggunaan borang kertas dan tiada
pemeriksaan perubatan diperlukan untuk pengesahan kelayakan.

Semua penerima yang layak di bawah skim ini akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan maklumat
lanjut tentang mekanisme dan pelaksanaan skim ini akan dihuraikan apabila ia dilancarkan secara rasmi pada awal tahun 2019.

“Skim ini salah satu langkah penting yang diambil oleh kerajaan untuk menubuhkan jaringan keselamatan sosial dalam aspek perlindungan insuran dan takaful kesihatan yang merangkum untuk golongan berpendapatan rendah secara percuma.

Skim yang dijalankan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, berpandukan janji Manifesto Pilihanraya
Pakatan Harapan untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette