Yunos Abd Ghani
KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) akan meneruskan cabutan bertuah untuk pemegang sijil simpanan premium (SSP) pada tahun hadapan.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, bagi 2019, BSN juga akan menawarkan hadiah dua kali ganda, berupa RM2 juta, kepada pemenang cabutan istimewa BSN SSP pada Disember 2019 sahaja.

“Bagi 2019, BSN SSP masih menawarkan hadiah cabutan istimewa berupa RM1 juta bagi Januari hingga November. Senarai penuh hadiah baharu BSN SSP 2019 akan diumumkan di majlis cabutan akan datang,” katanya ketika majlis penyampaian hadiah cabutan November dan cabutan bertuah bagi Disember 2018 di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, BSN sedang mempromosikan BSN SSP Edisi Khas bermula 15 Dis, 2018 sehingga 31 Mac, 2019, iaitu selain berpeluang memenangi hadiah yang ditawarkan setiap bulan, para penyimpan juga berpeluang untuk memperoleh kadar keuntungan sehingga 2.5 peratus dan hadiah setiap bulan.

SSP BSN merupakan antara skim simpanan yang diperkenalkan bank itu sejak 1978 dan bagi 2018, sebanyak RM20 juta nilai ganjaran telah diberikan kepada pemenang.

Bagi cabutan November, C. Rasathurai dari Selangor telah membawa pulang RM1 juta bagi cabutan istimewa manakala Zaitun Md Ali dari Perak telah memenangi kereta BMW 318i bagi cabutan bulanan. – MalaysiaGazette