Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha untuk menurunkan harga barang dalam usaha mengurang kos sara hidup rakyat namun ia akan mengambil sedikit masa.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahahir Mohamad berkata, apa yang penting ketika ini, pemerintahan negara berada dalam keadaan baik dalam kalangan parti komponen PH.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memberitahu ekonomi negara juga mengalami pertumbuhan dengan baik walaupun senario dunia yang tidak stabil.

“Hutang negara sedang ditangani dengan baik dan jentera pentadbiran pun dibersih dan dipulih semula.

“Malangnya rakyat terutama golongan miskin merasai tekanan kos sara hidup yang tinggi.

“Kerajaan dahulu pernah memberi duit percuma kepada rakyat secara rambang. Kita Pakatan Harapan (PH) tidak mampu.

“Sebabnya kita tidak mampu ialah kerana kita tidak selewengkan wang kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali kedua di sini malam ini.

Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Seramai 1,210 perwakilan hadir pada perhimpunan selama tiga hari yang bermula semalam diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Dr Mahathir menambah sebahagian daripada pendapatan kerajaan terpaksa diguna untuk bayar hutang dan faedah yang amat tinggi.

Katanya, jika hutang tidak dibayar maka negara boleh menjadi muflis atau bankrap.

“Kalau jadi muflis, semua pendapatan kita akan diguna untuk bayar hutang. Tidak akan ada wang sedikit pun untuk bantu rakyat.

“Inilah malapetaka yang dibawa oleh kerajaan dahulu. Kita sedang usaha menurunkan harga barang. Tetapi ini akan mengambil masa sedikit. Insya-Allah kos sara hidup akan turun,” katanya. – MalaysiaGazette