Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

CYBERJAYA – Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memerlukan dana sekurang-kurangnya RM200,000 seorang dalam usaha meraih tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kos itu melibatkan penyertaan dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF), termasuk di kejohanan lain untuk mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

Liu Ying berkata, beliau dan pasangannya, Peng Soon yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, masih dalam perbincangan dengan penaja berpotensi, tetapi belum mencapai kata putus selepas membuat keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini.

“Kami akan cuba sedaya upaya untuk layak ke Sukan Olimpik, tetapi masalah paling besar yang kami hadapi sekarang ialah mencari penaja untuk menyertai kejohanan. Paling kurang, kami memerlukan RM200,000 seorang kerana kita bukan hanya menyertai kejohanan di Asia.

“Kita ada juga kejohanan di Eropah seperti di England, Denmark dan Jerman, yang mana memakan kos RM20,000 hingga RM30,000 seorang. Kita harap perkara ini dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas membantu Kelab Badminton (BC) Puchong United menewaskan BC Kepong pada saingan SS Purple League 2018/19 di sini, malam tadi.

Liu Ying yang berganding bersama pemain import dari Hong Kong, Tang Chun Man yang meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia pada Ogos lalu, menewaskan gandingan Mohd Arif Abdul Latif-Cheah Yee See 3-1 (11-4, 8-11, 11-10, 11-4), sekali gus memastikan juara bertahan, BC Puchong United berada di kedudukan teratas carta.

Ditanya mengenai bantuan yang diharapkan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pemain berusia 29 tahun dari Melaka itu berkata, gelanggang latihan menjadi keperluan paling penting buat masa ini.

“Buat masa ini kami masih berlatih di BAM, tetapi selepas tamat tempoh notis bersama BAM (1 Januari 2019), kami tak tahu bagaimana kerana belum dapat apa-apa maklumat. Saya harap KBS boleh tolong dalam perkara ini,” katanya.

Pasangan yang menduduki ranking ke-13 dunia pada masa ini, akan memulakan musim 2019 dengan menyertai Masters Thailand bermula dari 8 hingga 13 Januari, diikuti Masters Malaysia (15 hingga 20 Januari) dan Masters Indonesia (22 hingga 27 Januari).