KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi global diramalkan bergerak perlahan bagi tempoh dua tahun akan datang, serentak dengan pelbagai kemelut di peringkat dunia.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor (JICCI), Tan Sri Dr Kenneth Eswaran berkata, ia termasuk tindakan bank pusat utama tidak melaksanakan lagi dasar akomodatif dan proses mendapatkan semula nilai matang eksport komoditi.
Menurut beliau, nilai ringgit yang lemah berbanding mata wang utama dan penurunan harga minyak mentah sebanyak AS$45 setong turut memainkan peranan.
“Golongan ahli perniagaan khususnya perlu bersiap sedia menempuh senario mencabar ini dengan bijak dan melayari setiap dugaan dengan berwibawa.
“Sektor perniagaan dan perindustrian memerlukan setiap situasi ditangani secara matang, sistematik dan telus, justeru kesemua prinsip ini adalah amat perlu dilaksanakan dalam setiap keputusan,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.
Kenneth berkata, secara keseluruhan pertumbuhan ekonomi pada tahun depan dilihat positif dengan suntikan lebih bermakna pada ekonomi negara dan rakyat.
“Secara peribadi saya optimis Tahun Baru akan mencipta lebih banyak peluang, termasuk kepada komuniti India tempatan.
“Ia bukan sahaja satu perkara yang dinantikan tetapi pada masa sama, membuka lebih banyak ruang untuk bersaing secara sihat dan kompetitif di pasaran semasa,” katanya.
Malaysia jelas beliau, dibina berteraskan kepelbagaian kaum, agama serta budaya dan ia adalah tunjang utama bumi bertuah ini.
“Kita sebagai rakyat negara ini perlu menangkis sebarang propaganda perkauman dan kekal bersatu padu demi kelangsungan kepelbagaian ini.
“Semoga Tahun Baru 2019 ini memberikan kita keamanan dan keharmonian berterusan untuk kesinambungan generasi seterusnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette