SUBANG – Pengalaman melihat puluhan mayat mangsa kapal penumpang M.V Pulau Kidjang yang terapung di laut dan tersadai di tepi pantai muara Sungai Rajang, Sarawak kira-kira 45 tahun lalu merupakan kenangan tragis yang tak mungkin dapat dilupakan seorang seorang bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Bagi Mejar (B) Musa Hassan, peristiwa pahit yang menggemparkan negara itu akan tersemat dalam ingatannya sampai bila-bila kerana kebetulan ia berlaku di waktu awal-awal pembabitannya sebagai seorang juruterbang helikopter.
Mengimbas detik pada hari kejadian, Musa berkata, beliau yang ketika itu bertindak sebagai pembantu juruterbang kepada ketuanya, Mejar Chin Yun Fong sebenarnya dalam penerbangan ke Sandakan, Sabah dari Kuching, Sarawak
Ujarnya, namun disebabkan cuaca buruk, mereka mengambil keputusan untuk bermalam di Sibu.
Katanya, kira-kira pukul 7.30 pagi 27 Disember 1973, sewaktu baru hendak menyambung penerbangan ke Sandakan, mereka telah dikejutkan dengan permintaan menara kawalan yang mahukan helikopter mereka segera terbang ke muara Sungai Rajang untuk melakukan kerja mencari dan melaporkan segala maklumat mengenai sebuah kapal yang karam di lokasi berkenaan.
![MGF31122018_TEMUBUAL EKSKLUSIF MEJAR (B) MUSA HASSAN09](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2018/12/MGF31122018_TEMUBUAL-EKSKLUSIF-MEJAR-B-MUSA-HASSAN09-1024x685.jpg)
Menurut Musa, memandangkan kejadian itu baru terjadi ketika itu, menara kawalan pun tidak mempunyai banyak maklumat termasuk nama kapal tersebut
” Sewaktu tiba di situ, saya nampak mayat-mayat yang terapung. Punyalah banyak. Disebabkan kami dalam perjalanan (ke Sandakan), kami hanya melakukan ‘search’ sahaja. Kami terbang di kawasan itu hampir setengah jam lamanya sementara menantikan dua buah lagi helikopter TUDM tiba untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) sebelum beredar dan meneruskan perjalanan.
” Dalam tempoh setengah jam itulah, ia meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam diri saya. Apa yang saya nampak, contohnya kat mana lokasi mayat, kat mana tempat mayat-mayat itu tersadai, semuanya saya laporkan ke menara kawalan.
” Perasaan saya cukup sedih ketika itu. Pun begitu kita teruskan juga tugas yang diberikan walaupun keadaan cuaca masih lagi tidak menentu pada waktu berkenaan,” katanya pada Malaysia Gazette ketika ditemui pejabatnya di Cempaka Helicopter Corporation, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di sini hari ini.
Malaysia Gazette baru-baru ini menyiarkan kisah tragedi yang mencatatkan sejarah hitam dalam kalendar negara pada awal pagi kira-kira 45 tahun yang lalu di muara Tanjung Jerijeh, Sarikei, Sarawak.
Tak siapa pernah menduga pelayaran kapal kargo dan penumpang, M.V.Pulau Kidjang, pada petang 26 Disember 1973 berakhir dengan tragedi menyayat hati kira-kira jam 4.00 pagi keesokan harinya.
Dibina pada tahun 1936 di Hong Kong, kapal tersebut asalnya dimiliki Syarikat Perkapalan Kidjang, Tanjung Pinang, Indonesia sebelum dibeli oleh Syarikat Perkapalan Messrs Central Shipping beralamat di Main Bazaar, Kuching dari sebuah syarikat perkapalan di Singapura.
Dalam tragedi tersebut, seramai 140 orang iaitu 110 penumpang dan bakinya 30 orang krew kapal terbabit dalam nahas maritim terburuk ini. Hanya 40 orang terselamat dan 53 mayat mangsa termasuk lima mayat anak kapal berjaya ditemui.
Manakala 47 mayat penumpang dan anak kapal gagal ditemui sehingga ke hari ini. Mereka termasuk enam sekeluarga yang berasal dari Sibu, Sarawak dipercayai terperangkap di dalam badan kapal malang tersebut.
Fenomena alam semulajadi, cuaca buruk ketika musim tengkujuh dan musim angin monsun timur laut dikaitkan sebagai punca utama tenggelamnya M.V.Pulau Kidjang.
Mengulas lanjut, Musa yang menamatkan kerjayanya dengan TUDM pada tahun 1985 dan kini bertugas sebagai Pengurus Operasi Cempaka Helicopter Corporation berkata, sewaktu kejadian, mereka mengambil keputusan untuk terbang rendah, hanya kira-kira 500 kaki sewaktu menjejaki kapal M.V Pulau Kidjang.
Katanya, ini dilakukan kerana jarak penglihatan mereka semakin terhad setiap kali hendak meninggikan kedudukan helikopter yang dipandu disebabkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
![MGF31122018_TEMUBUAL EKSKLUSIF MEJAR (B) MUSA HASSAN05](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2018/12/MGF31122018_TEMUBUAL-EKSKLUSIF-MEJAR-B-MUSA-HASSAN05-1024x685.jpg)
” Makin ke atas helikopter itu, makin hilang pula pandangan kami dari kapal berkenaan. Ketika itu untuk makluman, kapal tersebut belum tenggelam sepenuhnya.
” Cuma kalau tanya pendapat saya sama ada mungkinkah ada mangsa yang masih hidup sewaktu pasukan SAR tiba, jawapannya mustahil. Ini kerana keadaan laut ketika itu sangat bergelora, kalau pun ada mangsa yang pandai berenang, tak mungkin ia dapat ‘bertahan’ dengan situasi tersebut.
” Di kokpit, ketua saya hanya mendiamkan diri dan menumpukan usaha mengemudi helikopter kami. Masa tu saya langsung tak berbual dengannya kerana tahu beliau sedang tekun menjalankan tugasnya. Saya hanya bercakap dengan menara kawalan, melaporkan apa yang saya lihat walaupun perasaan sedih tak dapat digambarkan dengan kata-kata,” tambah Musa. – Malaysia Gazette.