KUALA LUMPUR – Penentuan mekanisme penetapan harga runcit petrol dan diesel mesti dibuat secara berhati-hati supaya pengguna dan pengusaha stesen minyak tidak berhadapan dengan masalah yang tidak sepatutnya.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, harga yang diapungkan semula di pasaran berdasarkan Automatic Price Mechanism (APM) yang betul menguntungkan pengguna pada masa harga minyak mentah global menurun.
Namun, katanya, jika tiada mekanisme pengawalan tertentu, pengguna juga perlu membayar harga lebih tinggi pada masa harga minyak mentah global meningkat.
“Harus difahami harga minyak mentah global ini bukannya statik dan ia sukar dijangka kerana turun naiknya turut bergantung kepada keadaan geopolitik semasa antarabangsa.
“Oleh itu, pendekatan menentukan harga runcit petrol berdasarkan managed float system bersekali dengan penetapan had harga maksimum seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan petang kelmarin adalah memang sepatutnya.
“Namun, saya berpandangan had harga maksimum ini patut dan boleh direndahkan lagi berbanding RM2.20 bagi RON95 dan RM2.18 bagi diesel,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Dr Mohd Khairuddin, had harga itu penting supaya beban kos sara hidup rakyat tidak bertambah, di samping bagi mengelakkan berlakunya peningkatan mendadak indeks harga pengguna (IHP).
Jelas beliau, kerajaan juga mesti mengehadkan kadar kenaikan harga runcit bahan api itu yang dicadangkan maksimum 15 sen seliter supaya pengguna tidak mengalami kesan perubahan perbelanjaan yang mendadak.
“Saya juga melahirkan rasa terkilan dengan keputusan kerajaan yang menangguhkan lagi penurunan harga runcit petrol dalam pasaran yang sepatutnya bermula semalam.
“Sejak diumumkan dalam Bajet 2019 November lalu, kenapa baru sekarang kerajaan mahu mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) bagi memuktamadkan isu ini, sedangkan PDAM adalah antara pemegang taruh utama dalam isu ini?” soal beliau.
Ini ujarnya, jelas sekali tindakan penangguhan itu menunjukkan kerajaan sebenarnya mahu mengaut keuntungan daripada rakyat dengan membuat helah.
Kata beliau, berdasarkan Mean of Platts Singapore (MOPS) dan APM, sepatutnya sejak awal Disember lalu RON95 dijual pada harga RM1.90 seliter.
“Ini bermaksud, dengan mengekalkan bahan api ini pada harga RM2.20 seliter, kerajaan mengaut untung sebanyak 30 sen bagi setiap liter daripada pengguna.
“Menjelang tahun baharu, sekali lagi pengguna diminta terus menanggung ‘subsidi’ untuk kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette