CAMERON HIGHLANDS – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menerima memorandum berkaitan isu semasa komuniti pekebun di Cameron Highlands.
Penyerahan memorandum oleh enam persatuan pekebun utama itu mengandungi 12 usul, antaranya pendudukan sementara (TOL), kekurangan tenaga kerja dan kos input yang meningkat serta ancaman daripada warga asing yang mengusahakan pertanian secara haram.
Selain itu, mereka juga meminta kerajaan mewujudkan dasar pertanian yang lestari dan berkekalan di Cameron Highlands seiring dengan Revolusi Industri 4.0 sektor pertanian.
Dasar pertanian tersebut antara lain harus memberi penekanan kepada pembangunan mampan pertanian di tanah tinggi itu termasuk alam sekitar, pertanian dan pelancongan.
Dalam ucapannya semasa menghadiri ‘Luncheon Talk’ bersama enam persatuan pekebun Cameron Highlands itu, Timbalan Perdana Menteri berjanji akan mengambil maklum akan masalah yang dihadapi pekebun kecil yang telah mengusahakan tanah sebagai punca pendapatan.
“Kita akan dengar apa masalah dan mencari penyelesaian, bukan hanya apa yang kami dengar seperti pencerobohan sayur malah pencerobohan dari segi pembinaan bangunan tinggi yang boleh menyumbang kepada kejadian tanah runtuh,” katanya.
Kata beliau, menyedari kawasan tanah tinggi itu penyumbang utama kelestarian sektor pertanian negara dan jaminan makanan, adalah penting penggunaan tanah dikawal bagi mengelakkan Cameron Highlands menjadi kawasan yang terlalu bahaya untuk bercucuk tanam akibat ancaman keselamatan.
Pada masa sama, Wan Azizah turut berharap Kerajaan Negeri Pahang akan berusaha untuk menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi tanpa bertangguh.
Persatuan terlibat ialah Pertubuhan Pengusaha Pertanian Cameron Highlands, Pertubuhan Pengusaha Bunga-bungaan Cameron Highlands, Pertubuhan Pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands, Persatuan Pekebun Sayur Melayu Cameron Highlands, Persatuan Tuan Empunya Kenderaan Sayur-sayuran Cameron Highlands dan Persatuan Pekebun Kecil India Cameron Highlands.
Sementara itu, wakil Persatuan Pekebun Sayur Melayu Cameron Highlands Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rasid berkata walaupun kebanyakan perkara yang diketengahkan adalah isu lama namun masih perlu diperbaiki antaranya tempoh pembaharuan lesen TOL yang lambat.
“Kalau boleh, kita juga meminta kerajaan negeri kaji semula dan memberi kelonggaran sijil CF (sijil kelayakan menduduki bangunan) kepada pekerja pertanian,” katanya.
Sehingga kini, terdapat lebih 2,000 pekebun yang berdaftar di Cameron Highlands.- BERNAMA