Ribut siklon tropika yang membadai wilayah Narathiwat, Thailand dijangka berlaku di negeri-negeri Pantai Timur, Malaysia. Gambar- Agensi

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengarahkan pegawai kanan JBPM Ibu Pejabat Putrajaya untuk bertugas secara standby 24 jam di Pusat Pengurusan Operasi (PPO) bermula 2 hingga 4 Januari 2019 untuk memantau keadaan semasa operasi Ribut Silkon Tropika.

Ini termasuk mengurusan bantuan kecemasan yang melibatkan anggota dan aset jabatan ke negeri-negeri yang terlibat iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Menurut JBPM, semua balai telah diarahkan untuk membuat pemantauan dan rondaan di kawasan pesisir pantai bagi memastikan keadaan sekitar selamat dan tindakan operasi menyelamat dapat berjalan dengan lancar dan pantas.

“Pemakluman ini disalurkan melalui media massa dan media elektronik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran waspada tahap Kuning bagi kawasan Pantai Timur.

Ribut Tropika ini dijangka membadai Kelantan dan Terengganu di mana kedua negeri ini akan menerima hujan lebat dan angin kencang pada kelajuan 40km/j.

Kelajuan begini boleh memberi kerosakan kepada struktur bangunan terutama rumah-rumah di pesisiran pantai, risiko pokok tumbang dan banjir kilat di kawasan terkesan.

Manakala di kawasan perairan berhampiran Kelantan dan Terengganu pula dijangka menerima angin selaju 50- 60km/j dengan ombak setinggi 4.5 meter.

Kawasan yang disenaraikan terjejas adalah Jajahan Tumpat, Kota Bahru, Pasir Puteh, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai di Kelantan.

Manakala di Terengganu pula adalah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang. – MalaysiaGazette