KANGAR – Imam-iman yang dipecat dan ditukarkan disaran supaya menerima keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan hati terbuka dan berlapang dada, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, ini bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan salah sangka terhadap keputusan MAIPS itu.
“MAIPs membuat keputusan memecat dan menukarkan imam-imam terbabit dalam usahanya untuk mencapai kecemerlangan dalam pengurusan. Untuk itu, MAIPs menggariskan beberapa panduan bagi mencapai maksud tersebut.
“Keputusan yang dibuat ini adalah sebahagian proses berterusan membabitkan pelbagai aspek pengendalian dan pengimarahan masjid,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan seramai 25 imam dipecat dan 10 lagi ditukarkan melalui surat Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) tanpa menyatakan sebab, bertarikh 31 Disember lepas.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, pelantikan imam-imam baharu dan jawatankuasa masjid bertujuan memberi suntikan nafas baharu bagi mencapai objektif yang ditetapkan oleh MAIPs, akan dilaksanakan secara berperingkat.
“MAIPs sentiasa menghargai sumbangan dan pengorbanan besar yang telah diberikan oleh para imam, pegawai masjid, nazir, jawatankuasa qariah dan semua yang terlibat.
“Saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan mendoakan Allah SWT memberikan ganjaran atas khidmat bakti yang dicurahkan,” titah baginda. – MalaysiaGazette