KUALA LUMPUR – Presiden UMNO berkata, sebangsat-bangsat dan sehina-hina UMNO yang dicaci oleh Pakatan Harapan selama ini, sebenarnya jauh lebih baik daripada gabungan tersebut.
Dalam nada pedas, Datuk Seri Mohamad Hasan bertanya: “Mana lagi teruk, yang dituduh gagal selama 61 tahun ke atau hanya tukar nama je apa-apa yang pernah dikutuk dulu?.
Mohamad mengulas langkah kerajaan Pakatan Harapan melakukan apungan harga bakan bakar mulai semalam.
Sebelum ini, kaedah apungan harga petrol RON95 dan RON97 serta diesel telah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional 1 Disember 2014.
Kaedah itu berasaskan Mekanisme Harga Automatik (APM) dan kadar mata wang, serupa sistem yang digunakan untuk menentukan harga RON97 sejak Julai 2010.
Bagaimanapun, pada 30 Mei lalu, kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan harga bahan api RON95 dan diesel akan terus pada kadar ketika itu, masing-masing RM2.20 dan RM2.18 seliter.
Manakala untuk RON97 akan diapungkan mengikut harga pasaran semasa.
Keputusan pengekalan harga bagi RON95 dan diesel itu bagi memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan menurunkan harga petrol sehingga RM1.50 seliter.
Harga RON95 dikekalkan sejak Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu sehingga semalam selepas pembangkang mendakwa kerajaan mengenakan cukai ke atas bahan api.
Ini kerana, harga RON95 yang disubsidi oleh kerajaan itu jauh lebih mahal sedangkan harga minyak mentah dunia menyusut kepada AS$54 setong sejak dua bulan lalu.
Malah, pembangkang mendakwa kerajaan meraih RM100 juta seminggu kerana mengikut harga semasa minyak mentah dunia, RON95 sepatut dijual lebih rendah. – MalaysiaGazette