Brahim Diaz. Foto Marca.

LONDON – Penyerang Manchester City, Brahim Diaz terpaksa memilih haluan baharu apabila berhijrah ke Real Madrid dengan bayaran sekitar £15.5 juta (RM81.3 juta).

Sky Sports melaporkan Real mungkin membayar lebih hingga mencecah £22 juta (RM115.3 juta) dengan beberapa nilai tambahan.

Kontrak perpindahan itu termasuk keuntungan 15 peratus dibayar kepada City jika Diaz dijual kepada kelab lain di masa hadapan.

Jumlah itu akan meningkat kepada 40 peratus sekiranya Madrid menjualnya kepada Manchester United.

Diaz yang menyertai City dari akademi bola sepak Malaga gagal mendapat tempat yang kini menjadi milik Raheem Sterling, Leroy Sane dan Riyad Mahrez di bahagian serangan.

Pemain Sepanyol itu hanya membuat lima penampilan untuk City dalam Liga Perdana Inggeris dan 15 perlawanan untuk skuad senior sejak menyertai kelab itu pada 2016.

Diaz sebelum ini menolak tawaran kontrak baharu dari City dan boleh berhijrah secara percuma pada bulan Jun tahun ini. – MalaysiaGazette