KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi Biro Dasar dan Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan tidak akan menarik balik laporan polis mengenai dakwaan wujud pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di ibu pejabat parti itu di Perlis.
Katanya, walaupun ada gesaan supaya berdemikian, beliau tetap tidak akan berganjak dari pendirian tegasnya.
“Baru-baru ini, saya membuat laporan polis mengenai pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat Bersatu Perlis. Saya digesa untuk menarik balik laporan tersebut.
“Saya tidak pasti apa motifnya laporan itu mahu ditarik balik, tetapi saya berkeras tidak menarik balik laporan polis itu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.
Beliau yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi PPBM juga bertegas untuk tidak mencampuri urusan mengaturkan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang melibatkan anak pemimpin PPBM dari Perlis.
Menurutnya, beliau ditawarkan wang yang besar sekiranya membantu pengaturan kontrak itu.
“Saya enggan melakukan salah guna kuasa itu. Saya tidak akan bertolak ansur dalam hal integriti dan saya tidak akan tunduk kepada tekanan untuk mendapatkan wang dengan cara salah oleh mana-mana individu tanpa mengira jawatan yang mereka pegang di Perlis.
“Hal ini menambah iltizam saya untuk membantu PPBM di Perlis menjadi lebih baik. Saya akan terus bekerja untuk kebaikan parti. Malaysia Baru perlu disambung menjadi Perlis Baru,” katanya.
Wan Saiful hari ini dipecat daripada menjadi setiausaha Bersatu Perlis dan menurut Pengerusinya, Ameir Hassan, keputusan itu diambil setelah mengambil kira tahap komitmen yang diberikan oleh Wan Saiful di peringkat negeri.
“Dia digugurkan kerana dia sibuk sangat dalam kemelut PTPTN. PTPTN tu berat dan banyak kerja dan kerja-kerja (parti) tak diselaraskan, kita tak mahu bebankan dia (Wan Saiful).
“Bila saya tengok ada permasalahan komunikasi dan sebagainya kerana dia terlalu sibuk dengan PTPTN, jadi biarlah dia selesaikan, tak adil bagi beban berlebihan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini. – MalaysiaGazette