Ayob Majid.

KUALA LUMPUR – Isu pengusaha bukan Islam ‘menyamar’ membuka restoran mamak bukan perkara baru dan malangnya sehingga sekarang masih gagal ditangani secara baik oleh pihak berkuasa.

Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor, Ayob Abd. Majid berkata, isu berkenaan perlu usaha berterusan daripada pihak berwajib.

“Apa yang saya perhatikan ramai orang Islam kita tidak dapat membezakan yang mana kedai mamak, yang mana kedai bukan mamak sebenar.

“Ada yang terang-terang tertulis nama restoran bukan mamak pun ramai orang Islam menjadi pelanggan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk isu tular di media sosial mengenai banyak restoran bukan milik orang Islam di negara ini tetapi menggunakan nama-nama ala Islam bagi menarik pelanggan.

Malah sesetengah restoran terbabit turut menggunakan gambar ayat-ayat al-Quran bagi mengelirukan orang ramai.

“Restoran yang ‘menyamar’ restoran mamak ini, kita sebagai pengguna harus perhatikan sekeliling sebelum menjamu selera.

“Contoh banyak sekarang restoran yang besar di Malaysia menyamar mamak tapi tauke bukan Islam,” ujarnya lagi.

Selain itu, menurut Ayob, persatuannya kini dalam proses menubuhkan satu jawatankuasa khas memantau perkara berkenaan dan berharap ia mendapat kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Islam Malaysia.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast