KUALA LUMPUR – Tiket Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33) yang mula dijual pukul 12 tengah hari tadi telah laris seperti pisang goreng panas.
Menurut syarikat penjualan tiket AJL33, My Ticket, tiket aras Arena yang bernilai RM55 telah habis dijual dalam tempoh satu jam.
Pengurus Hiburan Primeworks Studios, Muhamad Sufian Che Isa berkata, berita itu amat mengejutkan pihaknya kerana selalunya memberikan tiket AJL secara percuma kepada orang ramai dan kelab peminat finalis.
Tambahan pula katanya, sejak pengumuman penjualan tiket itu pada Jumaat lalu, pihaknya mendapat kecaman daripada netizen yang mengemukakan rasa tidak puas hati.
“Namun kami tetap positif dengan semangat peminat finalis dan AJL itu sendiri, Alhamdulillah penjualan tiket ini berjalan dengan lancar.
“Ini juga membuktikan bahawa Anugerah Juara Lagu ini masih relevan pada industri muzik tanah air dan menjadi kegilaan peminat sungguh pun telah mengecapi siri yang ke-33,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhamad Sufian menambah, biarpun tiket aras Arena telah habis dijual, tiket di aras 3 dan aras 4 masih dijual seperti biasa dengan harga RM35 dan RM25.
Katanya, para peminat AJL33 boleh mendapatkan tiket tersebut di laman web www.myticket.asia.
Sementara itu AJL33 yang akan berlangsung pada 3 Febuari ini membariskan finalis hebat antaranya Misha Omar, Siti Sarah, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Altimet, Haqiem Rusly, Syamel, Ara Johari, Kaer dan Amylea serta ramai lagi.
Peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan AJL33boleh layari laman media sosial @TV3Malaysia di Facebook, Instagram, dan Twitter.
Mereka juga dialukan untuk menggunakan tanda pagar #AJL33 untuk menghangatkan perbualan di media sosial. – MalaysiaGazette