Syed Husin Ali
Syed Husin Ali

KUALA LUMPUR – Sikap berdiam diri Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tidak mengambil sebarang tindakan ke atas seorang pegawai kanannya yang disabitkan dengan kes gangguan seksual, menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.

Aktivis politik, Syed Husin Ali ketika mengulas perkara itu berkata, sepatutnya pihak pengurusan Aswara mengambil tindakan sama seperti yang dilakukan sebuah stesen radio swasta dan hospital memecat kakitangan terlibat dengan gangguan seksual.

“Dua pegawai radio BFM dan seorang doktor di hospital kerajaan dibuang kerana gangguan seks. Tapi masih tiada tindakan atas rector Aswara,” katanya ringkas dalam hantaran menerusi Twitternya, hari ini.

Semalam stesen radio BFM 89.9 menamatkan perkhidmatan dua kakitangannya selepas siasatan dalaman syarikat itu terhadap dakwaan gangguan seksual.

BFM dilaporkan berkata, Lembaga Pengarah syarikat berpendapat terdapat bukti mencukupi untuk membuang pekerja terbabit.

“BFM telah menjalankan siasatan dan mengambil tindakan disiplin yang tertinggi dengan menamatkan perkhidmatan pekerja yang tertuduh,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, lain berlaku di Aswara, walaupun Rektornya, Prof Datuk Dr Mohd Rizon Juhari diarah membayar ganti rugi selepas disaman salah seorang pegawainya di mahkamah, masih lagi meneruskan tugas.

Beliau juga diarah membayar ganti rugi oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dalam kes saman sivil yang difailkan bekas pekerjanya, A’eshah Ahmad @ A Tambi.

Dalam pernyataan tuntutan bertarikh 30 Mac, A’eshah mendakwa defendan beberapa kali membuat kenyataan berunsur gangguan atau komen seksual.

Defendan juga didakwa membuat kenyataan atau tindakan bersifat tidak benar dan fitnah bertujuan merendah-rendahkan maruah dan reputasi plaintif serta memburuk-burukkan namanya dalam satu mesyuarat bersama kakitangan Aswara.

Malah, A’eshah yang sebelum itu dilantik memegang jawatan pengarah dan pegawai penyelia di Bahagian Perhubungan Korporat dan Antarabangsa Aswara pada 1 Oktober 2016 sepatutnya tamat kontrak pada 30 Seotember 2017.

Bagaimanapun dia mendakwa kontraknya dipendekkan tanpa alasan munasabah dan ditamatkan perkhidmatannya pada 14 April 2017. – MalaysiaGazette