KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menafikan dakwaan Datuk Lokman Noor Adam yang beliau terlibat dalam konspirasi pelantikan bakal Yang Dipertuan Agong (YDPA).
Dalam ciapan twitternya, Ahli Parlimen Sembrong itu menyindir Lokman dengan menulis; “LOL. Obviously not true! Ingat tahun baru Lokman Adam dah cerdik sikit.”
Beliau menyindir Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu semasan membalas ciapan Mamu PAPEDEMS yang mendakwa Lokman telah membuat tuduhan serius terhadapnya dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atau Mat Sabu.
Mamu berharap Hishammuddin memberi respon segera kerana jika tidak masyarakat akan menganggap dakwaan Lokman itu benar.
Sebelum itu, Lokman dalam videonya mendakwa Hishamuddin dan Mat Sabu berpakat mewakili Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menemui raja-raja memastikan Sultan Johor tidak dilantik sebagai YDPA menggantikan Sultan Kelantan yang meletakkan jawatan baru-baru ini.
Menurut Lokman, tindakan Hishammuddin dan Mat Sabu itu biadap kerana cuba melakukan konspirasi pelantikan YDPA.
Semalam, portal berita FMT memetik sumber yang memberitahu bahawa Perdana Menteri akan bertemu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis ini.- MalaysiaGazette
http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/08/tun-m-akan-bertemu-sultan-johor-khamis/