BEIJING – Delegasi perdagangan Amerika Syarikat (AS) di Beijing sedang “menghabiskan” mesyuarat dengan pegawai-pegawai kanan China dan akan kembali ke AS pada Rabu selepas melalui “hari-hari yang baik”, kata seorang pegawai AS.

Pasaran saham Asia melonjak selepas rundingan diteruskan pada satu pertemuan yang tidak dijadualkan pada hari ketiga sekali gus menyemarakkan optimisme terhadap pemulihan hubungan perdagangan di antara dua gergasi ekonomi yang telah menjejaskan pertumbuhan global akibat konfrontasi sejak beberapa bulan lalu.

“Saya rasa semuanya okay dan baik untuk kita semua,” kata Timbalan Setiausaha Pertanian untuk Perdagangan dan Hubungan Pertanian Asing AS, Ted McKinney kepada wartawan tanpa mengulas lanjut.

Mesyuarat minggu ini adalah rundingan bersemuka pertama sejak Presiden AS, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping bersetuju untuk berdamai dalam perang perdagangan selama 90 hari bermula Disember lalu selepas konfrontasi kedua-dua negara itu semakin memberi impak buruk kepada pasaran kewangan.

Pada asalnya, mesyuarat tersebut dijadualkan berlangsung pada Isnin dan Selasa sahaja bagaimanapun disambung sehari lagi selepas menunjukkan tanda-tanda positif termasuk pembelian ladang serta tenaga AS dan peningkatan akses kepada pasaran China.

Sekiranya tiada sebarang kata putus dicapai pada 2 Mac, Trump berkata beliau akan meneruskan kenaikan tarif kepada 25 peratus berbanding 10 peratus ke atas import China bernilai lebih AS$200 bilion.

Ekonomi China semakin perlahan dan Beijing enggan tunduk kepada cadangan kenaikan tarif oleh AS itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast