KUALA LUMPUR – “Cukuplah dengan politik syok sendiri,” tegas bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Dr. Ibrahim Ali.
Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang memberi bayangan mengenai watak yang didakwanya menggerakkan inisiatif supaya Presiden umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur dari jawatan berkenaan.
Menurut Ibrahim, kenyataan atau percakapan seperti itu menyebabkan harga UMNO pada rakyat terus menjunam.
“Siapa yang kecewa?” soal beliau sambil menambah, rakyat yang kecewa dengan UMNO.
Sedar atau tidak, tegasnya, UMNO sudah ‘bungkus’ selepas kalah teruk pada Pru-14 lalu.
“Tidak ada siapa yang kecewa dan kalau ada yang kecewa hanya melihat tingkah laku pemimpin UMNO yang sedia ada terus mempersendakan minda rakyat.
“Ini sekadar pandangan ikhlas dari orang yang ada harga diri,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Gazette hari ini.
Tajuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak dalam temubualnya dengan sebuah portal semalam dilaporkan mendakwa, gerakan supaya Ahmad Zahid berundur didalangi segelintir pemimpin parti yang kecewa kerana kalah dalam PRU-14 dan kumpulannya pula gagal mendapat tempat dalam pemilihan parti selepas itu.
Tajuddin yang turut menawarkan diri menjadi Naib Presiden UMNO dalam pemilihan tersebut bagaimanapun memberitahu, gerakan tersebut berasal dari Johor tetapi tidak serius malah bukan datang dari akar umbi.
Malah dakwanya, ia tidak menggambarkan kehendak keseluruhan kepemimpinan UMNO negeri terbabit.
Ahmad Zahid pada 18 Disember lalu, menyerahkan tugasnya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam kenyataannya, beliau yang mengambil keputusan untuk berehat berkata, tindakan itu selaras harapan ahli parti yang mahu pimpinan menterjemah hala tuju sesuai dengan slogan baharu ‘UMNO Bangkit’. – MalaysiaGazette