TANAH RATA – Suruhanajaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memberi peringatan kepada calon serta penyokong bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Cameron Highlands agar tidak sesekali berkempen secara negatif atau menggangu gugat ketenteramaan serta keharmonian.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana calon tidak kira siapa, seandainya peraturan yang telah ditetapkan itu dilanggar begitu sahaja.
Jelas beliau, segala aktiviti berkempen akan dipantau sepanjang tempoh rasmi berkempen, malah SPR juga telah menyediakan ‘Surat Aku Janji’ yang telah ditandatangani oleh setiap calon yang mengandungi 10 janji untuk dipatuhi.
“Kita mohon setiap calon patuh dengan undang-undang ketika tempoh berkempen ini. Jangan sesekali buat sesuatu yang melanggar peraturan. Bahan kempen yang mengandungi perkataan yang boleh kembangkan perasaan ‘jahat’ atau datangkan permusuhan tidak dibenarkan serta sentiasa dipantau.
“Pihak kami tidak akan teragak-agak untuk turunkan apa-apa bahan kempen yang berunsur negatif atau melanggar peruntukan undang-undang pilihan raya. Kita tidak berkompromi. Semua aktiviti kempen perlu dijalankan dengan harmoni,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.
Dalam pada itu, Azhar juga menyeru warga Cameron Highlands yang layak mengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
“Jumlah peratusan pengundi yang akan keluar undi kita jangka kurang 70 peratus. Kita sangat berharap masing-masing dapat menunaikan hak serta tanggungjawab yang menjadi kewajipan kita bersama.
“Kita juga pohon pihak berwajib termasuk media untuk memainkan peranan menggalakkan serta memberi kesedaran tentang kepentingan keluar mengundi serta tanggungjawab mereka dalam tempoh dua minggu ini,” ujarnya.
Tambah Azhar, ekoran penambahbaikan sistem komunikasi antara saluran dan pusat penjumlahan undi, SPR menjangka keputusan PRK Cameron Highlands dapat diumumkan sebelum pukul 10 malam pada 26 Januari ini.
“Sistem komunikasi terus antara lain dengan menggunakan aplikasi Whatsapp terbukti mempercepat serta melancarkan sistem pengurusan penjumlahan undi di tiga PRK sebelum ini iaitu PRK Balakong, Seri Setia dan Port Dickson.
“Apabila borang 14 diisi dan ditandatangani Ketua Tempat Mengundi ia akan dikomunikasi terus ke pusat penjumlahan undi dan pusat penjumlahan undi akan menghitung jumlah-jumlah ini tanpa menunggu ‘hard copy’ sampai. Bila ‘hard copy’ sampai hanya kita sahkan dan kita boleh terus isytiharkan,” ujarnya.
PRK kali ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran, 60, mewakili PH, bekas pegawai kanan polis, Mohd Ramli Nor, 61 (BN) dan bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61 dan petani Wong Seng Yee, 40 masing-masing sebagai calon bebas. – MalaysiaGazette