KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ditempelak kerana cakap tidak serupa bikin apabila senyap-senyap telah membuat rundingan terus untuk perolehan buku teks Program Dwibahasa Sains dan Matematik untuk pelajar Tingkatan Tiga.
Lantaran itu, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan mengapa perolehan buku teks itu tidak dibuat secara tender terbuka.
Ini kerana, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa baharu dilantik Menteri Hal Ehwal Ekonomi memaklumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi menggunakan sistem rundingan terus dan tender terhad bagi projek-projek akan datang.
Proses tender terbuka itu merupakan janji dalam manifeso PH.
“Dia (Guan Eng) kata cara rundingan terus ini memudahkan cara prosedur perolehan dan kewangan untuk memastikan kelengkapan pembelajaran dapat disediakan dengan baik. Haha. Lucu. Masuk balik gua wahai penyokong PH,” kata Najib dalam kenyataannya hari ini.
Najib membuat kenyataan itu selepas Kementerian Kewangan mengesahkan ia telah memberikan kelulusan khas untuk permohonan melaksanakan perolehan buku-buku teks tersebut secara rundingan terus pada 18 September 2018 supaya keperluan pelajar-pelajar dapat dipenuhi secepat mungkin.
Alasannya ialah Kementerian Kewangan sangat mementingkan kebajikan pelajar-pelajar dan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam memudah cara prosedur perolehan dan kewangan untuk memastikan kelengkapan pembelajaran dapat disediakan dengan baik.
Isu ini timbul selepas ibu bapa pelajar Tingkatan Tiga mempersoalkan anak-anak mereka belum mendapat buku teks bagi mata pelajaran sains dan matematik.
Mereka difahamkan bekalan buku itu akan diagihkan pada bulan Mac.
Bekas Perdana Menteri melihat situasi itu seolah-olah Guan Eng telah ‘mencampak Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ke laut’dan pandai-pandai fikir jalan untuk menyelamatkan diri.
Akhirnya, Ahli Parlimen Pekan itu bertanya adakah tindakan yang dilakukan oleh Menteri Kewangan itu tiada elemen salah guna kuasa. – MalaysiaGazette