CAMERON HIGHLANDS – Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai Pakatan Harapan (PH), Arvind Bharet mendakwa pemberian wang yang menjadi tular di media sosial itu sebenarnya bayaran bagi menampung kos petrol kepada para sukarelawan PH yang datang majlis tersebut menggunakan kenderaan sendiri.

Katanya, rata-rata mereka datang dari rumah mereka jauh di pedalaman menggunakan motosikal ke Tanah Rata pada hari penamaan calon semalam.

“Bayaran balik reimbursement ini juga akan diisyitiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pilihan raya kelak.

“Apa yang kami lakukan ini semuanya dilaksanakan mengikut lunas undang-undang yang sah.

“DAP sebagai rakan komponen PH percaya kepada satu pilihan raya yang bersih dan telus malah kami akan terus berpegang kepada prinsip ini dalam kempen kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam gambar yang tular itu turut dihadiri oleh calon PH, M. Manogaran dan beberapa pimpinan DAP seperti Gobind Singh Deo dan Wong Kah Woh.

Hari ini, MIC dan UMNO bertindak membuat laporan polis dan juga aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia susulan penularan gambar seorang wanita berbaju PH mengagihkan wang kepada komuniti Orang Asli.

Bekas penyandang kerusi Parlimen Cameron Highlands hilang kelayakan sebagai pengundi dan pembatalan kemenangannya selepas Mahkamah Pilihan Raya melalui petisyen yang dibuat Manogaran mendapati ada unsur rasuah dalam membeli undi Orang Asli sehingga menang sebelum ini. –MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/13/ph-beri-duit-kepada-orang-asli-boleh-pula/