Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Pelantikan Ketua Pengarah Imigresen yang baharu didakwa ada unsur campur tangan politik selain wujud amalan kronisme, dakwa Datuk Lokman Noor Adam.

Sambil menyifatkan sebagai suatu yang tidak sepatutnya berlaku, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga  Presiden Pemantau Malaysia Baharu (Pemantau) itu mempersoalkan di mana peranan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, pada 4 Januari lalu, KDN bersetuju dengan pelantikan Datuk Jamil Rakon sebagai Ketua Pengarah Imigresen yang baharu menggantikan Datuk Seri Mustafa Ali yang bersara wajib.

“Tetapi, semalam berlaku kejutan dan tercipta rekod baharu dalam sejarah pentadbiran kerajaan apabila Jamil ditukar dan tempatnya digantikan oleh Datuk Indera Khairul Dzaimee.

“Ini proksi Menteri KDN,” katanya ringkas menerusi akaun Twitternya hari ini.

Indera Khairul, 47, dilantik Ketua Pengarah Imigresen yang baharu berkuatkuasa esok.

Beliau sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN sejak Julai 2018 dan kini digantikan oleh Jamil.

Menurut Lokman, Pemantau mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhiyiddin Yassin atas rekod baharu diciptanya yang didakwanya tidak boleh ditandingi oleh mana-mana menteri dalam dunia.

Katanya, Lembaga Kenaikan Pangkat yang turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional bagaikan sudah tidak relevan lagi.

“Ini kerana campur tangan politik telah mengatasi semuanya. Sekarang, kami baru faham apa maksud sebenar ‘Malaysia Baru’, budaya kuasa politik menguasai pentadbiran kerajaan kini semakin berleluasa di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dan DAP.

“Saya yakin, yang rakyat Malaysia menanti-nantikan adalah pemerintahan paling pendek dalam sejarah bukan Ketua Pengarah yang khidmatnya paling pendek dalam sejarah,” katanya. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/13/indera-khairul-jadi-kp-jabatan-imigresen-baharu/