KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) telah memberikan kelulusan khas untuk permohonan melaksanakan perolehan buku-buku teks Sains dan Matematik bagi Program Dwi Bahasa secara rundingan terus pada 18 September 2018 supaya keperluan pelajar-pelajar dapat dipenuhi secepat mungkin.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan berkata, ia mengambil tindakan sewajarnya dalam memudah cara prosedur perolehan dan kewangan untuk memastikan kelengkapan pembelajaran dapat disediakan dengan baik.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas ibu bapa pelajar Tingkatan Tiga mempersoalkan mengapa buku teks bagi dua mata pelajaran itu masih belum diperoleh sedangkan anak-anak mereka bakal menghadapi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Mereka mendakwa buku-buku itu hanya akan diperoleh pada bulan Mac.
Kementerian Pendidikan berkata, penerbitan buku-buku itu sedang dalam proses.
Menurutnya, kementerian tidak dapat membekalkan buku-buku teks berkenaan semasa sesi persekolahan bermula pada 2 Januari lalu kerana perubahan telah dilakukan bagi menambah baik sistem perolehan dan menangani urusan sistem rundingan secara langsung dalam pembekalan buku-buku teks kepada sekolah yang telah diamalkan sejak pertengahan 2018.
MOF berkata, pihaknya sentiasa mempertimbangkan permohonan dari mana-mana kementerian/agensi yang mempunyai keperluan untuk melaksanakan perolehan secara rundingan terus bagi memenuhi sesuatu keperluan yang kritikal dan
mendesak, terutama sekali untuk perkara yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat. – MalaysiaGazette