Polis Sabah menembak mati seorang lelaki yang menjadikan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tawanan di sebuah apartmen di Telipok, dekat sini petang tadi.
Polis Sabah menembak mati seorang lelaki yang menjadikan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tawanan di sebuah apartmen di Telipok, dekat sini petang tadi. - foto Twitter Bernama

TUARAN – Polis Sabah menembak mati seorang lelaki yang menjadikan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tawanan di sebuah apartmen di Telipok, dekat sini petang tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata tindakan itu diambil selepas suspek cuba mencampak kanak-kanak tersebut dari tingkap dapur sebuah unit di tingkat empat pangsapuri berkenaan kira-kira 6 petang tadi.

Mengulas kejadian itu kepada pemberita di lokasi kejadian, Omar berkata terdahulu polis menerima laporan seorang kanak-kanak perempuan diculik seorang lelaki tidak dikenali pada 4 petang.

“Di tingkat empat blok apartmen ini ada sebuah gerai dan suspek pergi ke gerai itu sebelum secara tiba-tiba mengeluarkan pisau dan menangkap kanak-kanak tersebut yang berada di luar gerai dan mengurungnya di unit rumah tersebut,” katanya.

Katanya suspek yang dianggar berusia 30-an sebelum itu mengarahkan penghuni unit berkenaan keluar dari rumah.

“Selepas menerima laporan itu, polis bergegas ke lokasi kejadian dan cuba berunding dengan suspek agar melepaskan kanak-kanak tersebut namun suspek terus meletakkan pisau di leher kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan luka.

“Suspek kemudian cuba mencampak kanak-kanak itu dan polis terpaksa mengambil tindakan melepaskan beberapa das tembakan ke arah lelaki berkenaan,” katanya, menambah polis mengambil masa kira-kira dua jam berunding dengan suspek.

Menurut Omar suspek maut di tempat kejadian sementara kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut.

Katanya pemeriksaan awal polis tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri pada tubuh suspek dan lelaki itu juga dipercayai bukan penduduk di kawasan berkenaan.

Omar tidak menolak kemungkinan suspek mengalami masalah mental berikutan dia tidak membuat sebarang ugutan mahupun tuntutan ketika diminta melepaskan kanak-kanak tersebut dan menyerah diri.

Polis akan menyiasat motif kejadian dan kes disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, katanya.

Sementara itu, nenek kanak-kanak tersebut Sharmala Mohd Akhir menafikan kejadian berpunca daripada dendam.

“Kami tidak kenal langsung dan tidak pernah nampak lelaki itu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Malah katanya, dia hanya tahu cucunya diculik dan dijadikan tawanan selepas berlaku kekecohan di kawasan itu.

Ibu saudara kanak-kanak itu Nor Fatihah Nasir pula berkata ketika kejadian, ibu kanak-kanak tersebut berada di dalam rumah.

“Si ibu hanya tahu anak diculik selepas diberitahu oleh jiran,” katanya.

— BERNAMA