Sany Hamzan
Sany Hamzan

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menyambut baik penegasan kerajaan Malaysia berhubung larangan masuk atlet dari Israel ke negara ini.

Penegasan itu selaras dengan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam membela mereka yang ditindas termasuk rakyat Palestin yang sekian lama dinafikan pelbagai hak oleh kerajaan Israel.

Menurut Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan, penegasan itu juga menjadi satu simbolik solidariti Malaysia bersama perjuangan rakyat Palestin.

“Sebagai negara yang tidak mengiktiraf status Israel sebagai sebuah negara, adalah wajar untuk kerajaan Malaysia tidak menerima kehadiran warga Israel yang hadir bagi mewakili entiti haram rejim itu yang semakin rakus menjarah tanah Palestin.

Tindakan Israel membuka tanah baru di Palestin bagi membina penempatan haram bukan sahaja ditolak oleh Malaysia, bahkan telahpun diisytiharkan sebagai tidak berdasarkan undang-undang oleh Majlis Keselamatan PBB menerusi Resolusi 446,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak membenarkan atlet renang paralimpik Israel memasuki negara ini bagi menyertai “2019 World Para Swimming Championship”, yang akan diselenggarakan di negara ini.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat kabinet, Perdana Menteri mengesahkan dakwaan yang muncul pada media, para atlet Israel tidak mendapatkan kebenaran untuk memasuki negara ini, dan beliau berkata, kerajaan tegas terhadap keputusan berkenaan.

Menurut Mohd Sany, kerajaan Malaysia yang kini dikuasai PH seharusnya menjunjung tinggi prinsip keadilan merentasi sempadan.

Katanya, larangan ke atas atlet Israel itu diharap memberi tekanan bagi rejim berkenaan untuk berhenti menjarah dan mencabul hak asasi rakyat Palestin.

“Larangan ini juga diharap dapat terus memulaukan negara haram Israel di peta dunia.

“Pemuda Amanah juga menyeru kerajaan mengkaji semula sebarang hubungan dagang dengan Israel yang pernah ditimbulkan pimpinan PH dahulu.

“Sebarang hubungan dagang, sama ada secara langsung atau tidak langsung haruslah dihentikan sebagai usaha untuk tidak membentuk sebarang pengiktirafan diplomasi ke atas kewujudan dan kedaulatan Israel,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast