Tan Sri Razali Ismail
Razali Ismail

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bimbang dengan tindakan kerajaan menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk menahan beberapa individu di atas dakwaan pelbagai kesalahan.

Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat kerana kerajaan telah menyatakan
pendirian bahawa Akta Hasutan merupakan satu undang-undang yang menyekat.

Namun, amat mengejutkan apabila Kabinet dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang mendakwa menyokong transformasi demokrasi boleh membenarkan perkara sebegini berlaku walaupun ada di antara mereka merupakan mangsa Akta Hasutan.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata, penggunaan berterusan Akta Hasutan ini memberikan gambaran yang membimbangkan terhadap penggunaan undang-undang lapuk.

Malah, Suhakam mempersoalkan sama ada amalan pihak polis ini berkemungkinan bercanggah dengan polisi kerajaan dan agenda reformasi sehingga ke tahap pihak polis boleh dituduh menjalankan operasi bersifat authoritarian.

“Diakui bahawa terdapat keadaan di mana penulisan atau perkataan yang diungkap mungkin bersifat menghina, tetapi rakyat Malaysia perlu memahami bahawa hak untuk menyatakan pendapat membina asas kepada masyarakat yang berdemokrasi.

“Suhakam ingin menekankan bahawa hak untuk menyatakan pendapat bukanlah sesuatu yang mutlak dan terdapat undang-undang sedia ada untuk memastikan ianya tidak disalah gunakan, contohnya di dalam situasi di mana ia boleh mencetus keganasan ataupun mempromosikan kebencian.

“Suhakam menggesa kerajaan untuk menghormati janji terhadap rakyat Malaysia untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 kerana kami percaya Malaysia mampu menjadi masyarakat yang berdemokrasi tanpa Akta Hasutan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast