Syahredzan Johan
Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan berkata, dakwaan kes rasuah Pakatan Harapan (PH) di Cameron Highlands berbeza dengan kes Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau yang juga seorang peguam itu berkata, kes bagi kawasan Parlimen berkenaan pada 9 Mei tahun lalu sehingga diisytiharkan terbatal mengikut kesalahan menyogok di dalam Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Calon BN sebelum ini, Datuk C. Sivarraajh, katanya, tidak membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan malah tidak pernah mengutarakan alasan bahawa individu-individu yang diberikan wang itu adalah sukarelawan.

“Kedua-dua senario ini adalah berbeza bagai siang dan malam, dan tidak patut digolongkan dalam suatu kategori.

“Seperti yang telah dijelaskan oleh Arvind Bharet, pembantu kepada ketua operasi PH Jelai, gambar-gambar yang tersiar dalam media sosial menunjukkan sukarelawan parti di Cameron Highlands dibayar balik untuk perbelanjaan mereka menghadiri majlis penamaan calon bagi PRK, yang akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan kempen,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas senario gambar tular seorang petugas PH memberikan wang yang didakwa wang petrol kepada Orang Asli semasa kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands.

Malah kata Syahredzan, Pengerusi Bersih, Thomas Fann, menjelaskan membayar balik sukarelawan adalah sah di sisi undang-undang sekiranya bayaran itu adalah termasuk dalam RM200,000 yang dibenarkan sebagai perbelanjaan kempen dan diisytiharkan selepas pilihan raya tamat.

Sebelum itu, Sivarrajh juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung perkara yang sama dan mahu tindakan tegas diambil seperti yang berlaku kepadanya pada PRU-14 lepas.- MalaysiaGazette