KUALA LUMPUR – Standard siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dipersoalkan dan didakwa dikendalikan secara berat sebelah.
Ia susulan siasatan oleh SKMM terhadap bekas ahli Parlimen Nibong Tebal selepas beliau membuat hantaran di Facebook dengan mempersoalkan jaket Givenchy yang dipakai oleh anak Lim Guan Eng semasa dalam penerbangan ke Australia baru-baru ini.
Tan Tee Beng kemudian didatangi oleh dua pegawai SKMM ke rumahnya dan kemudiannya didakwa menggunakan peranti berfrekuensi tinggi sehingga menganggu isyarat kawasan sekitar.
Alat perantinya kemudian dirampas dan Tee Beng dipanggil untuk memberi kenyataan di balai polis di Putrajaya.
Dalam satu kes berasingan di Cameron Highlands, gambar seorang wanita yang memakai kemeja merah Pakatan Harapan yang didakwa menyerahkan wang kepada Orang Asli telah menjadi virus di media sosial.
Veteran DAP, Lim Kit Siang mengakui PH telah memberi wang dan wanita yang terlibat adalah sukarelawan DAP tetapi SKMM mahu menyiasat pemilik akaun media sosial yang telah mengedarkan gambar-gambar tersebut.
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok berkata, Teng Beng memuat naik gambar anak lelaki Guan Eng dan mempersoalkan harga jaketnya yang mahal.
“Apakah jenis jenayah yang dilakukannya? Kami juga mahu bertanya mengapa individu yang mengagihkan wang kepada pengundi tidak dikenakan tindakan tetapi mereka yang mendedahkan dakwaan rasuah pula yang disiasat.
“Apakah standard pihak berkuasa sekarang?” soalnya lagi.
Chin Kok menambah, mengapa Malaysia Baharu kerajaan PH sentiasa menjadi bogeymen (orang jahat) dan takut kepada media sosial serta menindas kebebasan bersuara, melarang orang ramai memantau tindakan parti pemerintah terutamanya pelanggaran semasa pilihan raya atau tindakan-tindakan angkuh.
Di bawah sistem demokrasi yang sebenar, katanya, kebebasan adalah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, menurutnya, PH yang telah berkuasa lebih daripada lapan bulan telah menggunakan semua cara untuk menyekat media dan menentang kebebasan suara.
“Ini adalah pengkhianatan kepada rakyat!,” ujarnya. – MalaysiaGazette