BROOKLYN – Bekas Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto didakwa menerima rasuah sebanyak AS$100 juta daripada raja dadah Joaquin ‘El Chapo’ Guzman.
Dakwaan itu dibuat oleh Alex Cifuentes, rakan rapat dengan Guzman di mahkamah di sini.
Guzman didakwa menjadi dalang di sebalik kartel Sinaloa, pembekal dadah terbesar di Amerika Syarikat.
Pena Nieto merupakan Presiden Mexico dari tahun 2012 hingga 2018.
Guzman, 61, dibicarakan di Brooklyn sejak November lalu selepas dia diekstradisi dari Mexico.
Dia menghadapi pertuduhan menyeludup kokain, heroin dan dadah lain.
Guzman juga digelar kartel dadah terbesar dunia.
Menurut laporan media, Pena Nieto telah meminta wang sejumlah AS$250 juta sebelum bersetuju menerima AS$100 juta.
Cifuentes mendakwa wang itu dihantar ke Mexico City pada bulan Oktober 2012 oleh rakan Guzman.
Pendakwa raya berkata, Cifuentes adalah orang kanan Guzman, yang juga setiaausaha raja dadah itu telah bersembunyi selama dua tahun di pergunungan Mexico.
Pena Nieto belum memberi maklum balas berhubung dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette