CAMERON HIGHLANDS – Setelah hampir 61 tahun memerintah, kerajaan bertukar tangan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).
Mungkin ramai sudah menukar fikiran dan mahukan perubahan dengan mengundi kerajaan PH tetapi masyarakat Orang Asli khasnya di Cameron Highlands seolah-olah masih berada di takuk yang ‘lama’.
Pada mereka, sehingga kini BN yang diwakili oleh beberapa parti komponen termasuk UMNO, MIC dan MCA masih lagi segar dalam fikiran dan darah daging mereka.
Apa yang mengejutkan ketika tinjauan MalaysiaGazette baru-baru ini, rata-rata mereka begitu fasih dengan nama dan mengenali wajah pemimpin BN seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Selain itu, wakil rakyat MIC termasuk Datuk Seri SK Devamany, Datuk Seri G Palanivel dan Datuk Sivarrajh Chandran yang pada mereka sangat rajin keluar masuk perkampungan Orang Asli sepanjang masa, tidak kira sama ada pilihan raya diadakan ataupun tidak.
Malah, jelas mereka, selama berpuluh tahun wali; rakyat inilah yang membantu mereka walaupun masih ada isu tidak selesai dan kebajikan mereka masih lagi terjaga kerana kerajaan terdahulu tidak mengabaikan masyarakat Orang Asli seperti didakwa segelintir pihak.
Kepada sesiapa yang berkesempatan untuk meninjau kehidupan Orang Asli yang masih hidup dalam serba kekurangan namun mereka tetap berterima kasih dan bersyukur dengan apa yang telah diberikan.
Menurut penduduk orang Asli di Kampung Ruil, Cameron Highlands, Samsudin Zainal, 45, ‘mati hidup semula’ sekalipun dirinya serta suku sakat Orang Asli lain akan kekal setia dengan BN.
Kata Samsudin, ada juga pihak yang mendekati mereka dengan pelbagai janji apa yang boleh dilakukan dan diberikan kepada mereka sekiranya mengubah pendirian daripada mengundi BN lagi.
“Kita ini hidup kena ada rasa terima kasih. Jangan jadi seperti kacang kulit. Salah itu. Kerajaan dulu banyak bantu kami, apa yang kamu nampak ini sebenarnya semuanya telah diberikan oleh BN. Orang tolong kita, kita jangan macam itu sahaja.
“Sejak dulu lagi, yang akan turun jumpa kami adalah pemimpin UMNO dan BN sahaja. Muka-muka dan nama mereka sangat dikenali oleh semua warga Orang Asli. Jarang pula kita lihat pembangkang yang kini kerajaan tunjuk muka apa lagi turun menemui kami.
“Kerana itu saya cakap, jangan lupa jasa-jasa BN dan berpaling tadah. Kita percaya selepas ini juga mereka akan sentiasa bantu dan prihatin terhadap nasib baik, sekurang-kurangnya mereka tetap perjuangkan nasib kami.
“Kerajaan baru ini jenguk kita sendiri susah, kami tidak pasti pula apakah mereka akan bantu kita. Itu tidak penting, tapi jika ada calon lambang ‘dacing’, kami hanya akan pangkah logo itu. Kerana kami tahu dan kenal jasa dacing pada kami selama ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagi Din Abdullah yang sudah menjangkau umur 70 tahun yakin undi kesemua golongan Orang Asli atau Orang Asal di Cameron Highlands masih diberikan kepada BN.
Padanya, kesetiaan terhadap BN apatah lagi kini calonnya di Cameron Highlands adalah dalam kalangan mereka cukup menggembirakan.
“Ini adalah pengiktirafan BN kepada kami, suara kami juga akan didengari di Parlimen selepas ini, ini sangat menggembirakan.
“Sebenarnya, apapun, kami setia kepada BN. Tidak boleh lupa dan mahukan perubahan dengan membiarkan calon BN kalah begitu sahaja. Yang memahami kami juga adalah pemimpin BN.
“Bukan kerana mereka beri kami duit sikit-sikit ketika pilihan raya tetapi kerana pembangunan yang telah dibawakan oleh kerajaan terdahulu kepada kami. Tengok sekeliling, sudah mcam-macam mereka buat untuk kita.
“Kami bukan dicari hanya ketika pilihan raya tetapi kami sentiasa di hati mereka selama ini, kerana itu apabila musim pilihan raya walaupun kini bukan kerajaan ‘besar’ (pusat), kami tetap mahu undi mereka. Jasa mereka bukan sedikit,” ujarnya.
Bagi Tok Batin Pos Terisu, Kg 3, Jaffar Timor pula, beliau pasti kemenangan masih lagi akan berpihak kepada BN bukan kerana calonnya dalam kalangan mereka sahaja, sebaliknya apa yang telah dilaksanakan oleh parti itu selama puluhan tahun.
“Saya bukan kata kerajaan kini tidak buat apa-apa. Kita tidak mahu bermusuh, tetapi saya boleh kata, semua Orang Asli di sini kawasan Pos Terisu yang lebih 1,000 orang hanya akan mengundi BN.
“BN banyak bantu kami malah setiap kali bermasalah pastinya akan turun bantu. Kami semua sudah terbiasa dengan mereka, susah untuk ubah fikiran mereka untuk undi yang lain.
“Kami masih ada banyak masalah yang belum selesai lagi masalah pampasan, jalan raya dan juga telekomunikasi, mungkin selepas ini akan dapat perhatian lagi-lagi jika calon kami menang.
Sementara itu,Saleha Barminat, 20, teruja untuk melihat kalangan mereka mengundi kali pertama calon Orang Asli.
“Dia sangat baik, kita sangat gembira. Beliau adalah kaum keluarga kami dan kami sangat kenal dengan dirinya. Sebelum jadi calon, beliau biasa sahaja turun ke sini.
“Memang dengan kami semua, kita akan bagi sokongan serta undi kepada tuan Ramli Mohd Nor,” katanya.
Sebenarnya pengamatan MalaysiaGazette sendiri mendapati, setiap kali calon BN, yang juga merupakan bekas pegawai polis kanan, Ramli sangat mesra dan dekat dengan golongan Orang Asli ini.
Hampir setiap warga Orang Asli bukan sahaja mengenalinya malah rata-ratanya juga mempunyai pertalian kekeluargaan dengan beliau.
PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru melibatkan calon PH, M Manogaran, calon BN,Ramli dan 2 calon Bebas, Sallehuddin Ab Talib dan Wong Seng Wee.
Ramli merupakan calon anak tempatan dari suku Semai sementara Manogaran berasal dari Teluk Intan, Perak sebelum mencuba nasib di Cameron Highlands selama dua kali.
Difahamkan 2 calon Bebas yang bertanding juga merupakan anak tempatan tetapi kurang dikenali kerana tidak pernah terbabit dalam dunia politik atau mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik sebelum ini.
Sebanyak 32,009 pengundi berdaftar, termasuk 247 pemilih awal dan 12 pengundi tidak hadir layak mengundi. Terdapat 385 pengundi kurang upaya.
Daripada jumlah itu, 22% pengundi merupakan Orang Asli.
Parlimen Cameron Highlands mempunyai 2 Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya, Tanah Rata yang merupakan kubu DAP sejak 2013 dan DUN Jelai yang kekal sebagai kubu BN dan diwakili oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – MalaysiaGazette