KUALA LIPIS – Isu kelewatan pengagihan bayaran tunggakan kepada peneroka Felda akan dijawab Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus kepada peneroka ketika lawatannya ke Sungai Koyan minggu ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kelewatan berkenaan tidak sepatutnya berlaku memandangkan peruntukan sebanyak RM77 juta telah diluluskan Kerajaan Pusat, pada 20 Disember lepas lepas.
“Duit sudah ada dan kita pun nak tahu kenapa masih belum boleh agihkan kepada peneroka… jadi, kita tunggu (Datuk Seri) Mohammed Azmin datang dalam minggu ini untuk jelaskan perkara dan menyelesaikan masalah ini,” katanya pada sidang media sewaktu melancarkan slogan PH untuk kempen PRK “Pembangunan Bersama Harapan” di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pahang, Fuziah Salleh dan calon PH, M Manogaran.
Kementerian Kewangan pada 20 Disember lepas mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM77 juta bagi membantu peneroka Felda melunaskan bayaran tertunggak pada tahun semasa bagi mengatasi masalah aliran tunai Felda yang kritikal.
Peruntukan itu termasuk bagi melunaskan bayaran tertunggak seperti bayaran khairat kematian berjumlah RM1.2 juta membabitkan waris kepada 120 peneroka yang sudah meninggal dunia, bayaran tunggakan kepada Felda Technoplant Sdn Bhd bagi kerja operasi pembangunan ladang peneroka sebanyak RM43 juta dan bayaran sara hidup serta pendahuluan hasil tanam semula berjumlah RM32.8 juta untuk manfaat 38,000 peneroka Felda.
Lim berharap isu berkenaan tidak akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan untuk memenangi hati pengundi di kawasan Sungai Koyan yang kebanyakan mereka adalah peneroka. – Bernama