Temubual bersama penduduk India, M. Balaiah sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Ringlet, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Masyarakat India di Cameron Highlands sudah awal-awal memberi ‘amaran’ untuk tidak sesekali memanggil mereka sebagai pembelot atau tidak mengenang jasa seandainya undi diberikan kepada calon bukan Barisan Nasional (BN).

Rata-rata yang ditemui MalaysiaGazette melahirkan rasa kecewa dan terkilan kerana banyak isu terutamanya yang berkaitan dengan hak pemilikan tanah, kesesakan lalu lintas, lesen perniagaan, isu kuil, sekolah Tamil dan ekonomi yang menyelubungi mereka tidak diselesaikan sehingga kini.

Kata mereka, bukannya mereka tidak menghargai apa-apa yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu apatah lgi wakil rakyat yang mewakili mereka adalah dalam kalangan orang India seperti Datuk Seri SK Devamany, Datuk Seri G Palanivel dan terbaru, Datuk Sivarrajh Chandran.

Menurut M. Balaiah yang merupakan pemandu teksi dan sudah menduduki Cameron Highlands lebih 50 tahun, hakikatnya rasa sayang kepada BN masih lagi tebal tetapi pada masa yang sama, janji-janji terdahulu perlu juga dilaksanakan.

Jelas Balaih, usah bercerita tentang manifesto yang telah dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), cerita dulu tentang segala macam janji oleh BN sebelum ini.

“Saya masih sukakan BN. Memang benar bukan sahaja pembangunan tetapi banyak juga kebaikan telah dilaksanakan oleh mereka puluhan tahun ini, sebelum ini kerajaan yang ada kini hanya mampu bercakap, BN laksanakannya.

“Itu saya akui dan tidak akan sesekali akan nafikan. Kali ini juga, saya tidak teragak-agak dan akan mengundi BN walaupun calonnya adalah dalam kalangan orang Asli. Tetapi pada masa yang sama, banyak perkara belum selesai.

“Contohnya kuil saya, Sri Thendayuthapani Swami Temple yang pada masa saya adalah Presidennya, hak pemilikan tanah itu terus menjadi isu. Terus ada pihak bermain tarik tali, mengapa? Kerajaan negeri pun milik kita bukan. Cakap kamu akan selesaikan itu, saya akan undi BN. Saya akan bawa sekumpulan besar juga untuk undi.

“Isu jalan sehala yang merbahaya, walaupun sudah dihantar memorandum dan aduan, tidak ada apa-apa yang boleh di buat, cakap boleh selesai apatah lagi kerajaan negeri kini masih lagi milik BN.

“Seperti ini, banyak isu-isu yang menggangu kita, apakah perhatian akan diberikan? Isunya kini, setiap janji yang di buat tidak ditepati sebaliknya terus dan berterusan mengambil masa, sekarang janji lagi.

“Calon DAP juga ada membuat janji, saya tidak pasti adakah mereka akan tunaikan janji-janji itu. Saya cuma harap kami diberikan perhatian, isu-isu yang menyelebungi kami sebenarnya sangat menyesakkan kami. Bukan sehari dua tetapi juga puluhan tahun.

“Apa sebenarnya janji-janji akan benar-benar ditunaikan? Saya juga sedia maklum kerajaan negeri milik BN dan adalah baik jika undi masih diberikan kepada mereka kerana kuasa di tangan mereka. Tetapi adakah dengan apa yang berlaku sehingga bertukarnya kerajaan pada PRU lepas akan benar-benar menginsafkan? Tolong kami supaya kami boleh tolong kamu,” katanya.

MGF16012019_INTERVIEW MASYARAKAT INDIA06
K. Raman

Lain pula dengan K. Raman, 57, petani berasal dari Ringlet yang mengakui dirinya ‘tertipu’ dengan janji memberikan pemilikan tanah kepadanya pada PRU lepas lagi.

“Saya sungguh gembira apabila mendapat surat kelulusan yang mengatakan masalah tanah itu dan selesai dan ada beberapa prosedur yang perlu dilakukan, itu pada PRU lepas. Kini sudah hampir setahun, saya masih berulang alik.

“Pelbagai alasan diberikan, adakah ini patut? Mengapa beri layanan seperti ini? Kini musim pilihan raya sudah tiba sekali lagi saya dijanjikan perkara yang sama, soalan saya, apa jaminan isu saya selesai?

“Kami bertungkus lumus bertani, memberikan anda semua makanan sayur-sayuran saban hari. Mengapa tidak kasihan kepada kami? Saya mahu mengundi calon yang betul.

“Apakah jaminan yang anda berikan kepada saya selepas ini? Lagi-lagi calon kali ini adalah Orang Asli dan Melayu. Mungkin lebih baik saya bagi undi kepada calon DAP, dia India. Mungkin senang untuk saya berkomunikasi juga.

“Walaupun dia calon BN tetapi bagaimana jika hanya bersuara untuk masyarakat Asli sahaja dan bukan kami? Kami juga ada isu pemilikan tanah dan sebagainya, bagaimana jika tanah hanya diberikan kepada Orang Asli? Saya tidak mahu ambil risiko,” ujarnya.

MGF16012019_INTERVIEW MASYARAKAT INDIA11
R. Puspha

Lain pula dengan R Puspha, 47 yang merupakan seorang peniaga di Kea Farm melahirkan rasa yakin seandainya calon BN menang kerana banyak perkara yang boleh dilakukan dengan adanya kekuataan kerajaan negeri.

“Ini adalah tempat tarikan pelancongan juga, saya dengar khabar angin yang semakin kencang sejak beberapa bulan lepas mungkin tempat akan dipindahkan ke tempat lain.

“Mengapa buat begitu apabila kawasan ini adalah tarikan pelancong? Yang anda perlu buat ada cantikkan tempat ini, sediakan lebih banyak lokasi parkir kereta dan kenderaan. Perlu bantu kami.

“Janganlah pindahkan lokasi ini yang bukan sahaja pilihan pelancong tetapi orang tempatan juga, pasar ini sangat terkenal malah saya telah berniaga keledek lebih 10 tahun. Jangan buat perkara-perkara jejaskan ekonomi kami dan keunikan tempat ini.

“Kami yakin dengan kerajaan negeri, kami tidak pandai politik, tolong beri perhatian serius dengan apa yang kami minta juga, jangan buat tidak endah, rasa sakit hati. Macam-macam janji hanya untuk tempoh singkat,” tegasnya.

MGF15012019_CALON PH HARI PONGAL05
Calon Pakatan Harapan, Manogaran Marimuthu (dua kiri) hadir pada Program Perayaan Ponggal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.078 Cameron Highland di Kuil Sri Subramaniyar, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 15 JANUARI 2019.

Bagi M. Murugan pula yang merupakan anak jati Cameron Highlands pula mahu kerajaan memberi perhatian terhadap isu tanah terutamanya penguasa pertanian itu sendiri.

Selain itu, kata Murugan, kesibukan lalu lintas dan tempat meletak kenderaan terutamanya jalan sehala Brinchang dan Kea Farm sebenarnya bukan isu baru sebaliknya sudah lama menggangu warga Cameron Highlands.

“Sudah banyak memorandum, aduan dihantar, semuanya di pandang sepi sahaja. Tolong beri perhatian sedikit.

“Kita juga hadapi isu peluang pekerjaan terhadap warga tempatan dan kini Cameron Highlands dibanjiri warga asing pula. Untuk warga asing, isu visa dan permit juga menjadi masalah apatah lagi pekerja berkemahiran.

“Penambahan lesen perniagaan dan pembukaan premis perniagaan baharu dengan Majlis Daerah Cameron Highlands bukan mudah.

“Tidak banyak projek perumahan mampu milik bagi kategori sederhana dan kurang ketika ini, tiada kolej komuniti juga, mohon perhatian dalam manifesto dan perancangan masa depan oleh kerajaan,” tegasnya.

MGF16012019_INTERVIEW MASYARAKAT INDIA01
M. Loganathan

Bagi M. Loganathan, 66, beliau mahu masyarakat India diberikan perhatian khasnya isu-isu berkaitan kuil dan pendidikan.

“Ahli politik akan cakap banyak tapi kurang bekerja apabila diberikan peluang itu, kami bukan kritik, kami sebenarnya juga mahu calon yang berkemampuan diberikan peluang tetapi mengapa peluang yang sama tidak diberikan kepada kami.

“Masalah kami bukan sehari dua tetapi sudah lama, banyak kali pilihan raya tetapi perubahan tetap sedikit kadang-kadang tiada langsung, semoga dapat perhatian. Kaum India juga antara ‘king maker’, tidak cukup sekadar letak calon India sahaja, buat kerja juga,” ujarnya.

Berdasarkan rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bilangan pengundi Melayu di Parlimen itu adalah 10,820 orang atau mewakili 34 peratus, Cina 9,524 (30 peratus) dan India 4,798 (15 peratus).

Pengundi Orang Asli pula seramai 6,964 orang, mewakili 23 peratus pengundi di sana. –MalaysiaGazette