Foziah Nawawi
Foziah Nawawi

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak melayan gesaan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) supaya memberikan perjalanan tanpa visa kepada pelancong China dan India.

Ketua Wiranitanya, Foziah Nawawi berkata, cadangan Matta itu tidak akan membantu meningkatkan pelancongan di Malaysia, sebaliknya membahayakan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Berita ini amat mengejutkan Wiranita Perkasa kerana akhirnya tiada kawalan terhadap pelancong asing yang memasuki Malaysia.

“Sudah banyak kes pelancong asing yang memasuki Malaysia atas visa pelawat, tetapi tidak keluar dari negara ini.

“Perkara ini amat membahayakan keselamatan negara dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini.

Hari ini, Presiden Matta, Tan Sri Kok Liang dalam kenyataannya dilaporkan menggesa kerajaan memberikan perjalanan tanpa visa kepada pelancong China dan India untuk meningkatkan pelancongan malaysia.

Katanya, ketibaan pengunjung ke Malaysia merosot sebanyak tiga peratus kepada 25.95 uta pada 2017 berbanding 26.76 juta pada 2016, walaupun ketibaan pelancong positif di seluruh ASEAN pada 2017.

Menurut Foziah, pihaknya menyeru kerajaan PH agar mempertimbangkan semula pemberian Electronic Travel Registration & Information (eNTRI) kepada pelancong iaitu Program Visa-Free yang memudahkan kemasukan mereka ke negara ini.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar satu sistem lebih telus, pantas dan komprehensif bagi eNTRI agar kerajaan tidak menggadaikan kedaulatan dan keselamatan negara semata-mata kerana industri pelancongan negara.

“Apa guna kedaulatan negara tergadai dan keselamatan negara tergugat demi kerana sedikit keuntungan daripada industri pelancongan.

“Hal ini perlu diberikan perhatian yang serius oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan amat wajar sistem eNTRI ini dikaji semula,” katanya. – MalaysiaGazette