GHANA – Seorang wartawan penyiasat meninggal dunia selepas ditembak ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya malam tadi.
Laman portal Brisbane Times melaporkan, mangsa, Ahmed Hussein Suale ditembak oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal dan dipercayai pembunuh upahan.
Menurut laporan itu, pembunuhan ke atas wartawan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan pendedahan korup terhadap pegawai tinggi badan bola sepak dunia FIFA baru-baru ini.
Ahmed Hussein ditembak dua kali di bahagian dada dan satu das lagi pada leher dalam jarak dekat semasa memandu di pinggir bandar Accra, iaitu lokasi tempat tinggalnya.
Menurut polis, mangsa mati di tempat kejadian.
Syarikat penerbitan berasaskan siasatan, Tiger Eye PI yang menjadi tempat Ahmed Hussein bekerja berkata, insiden itu dilakukan oleh penembak profesional.
Polis belum membuat pengumuman mengenai sebarang tangkapan berhubung kejadian itu.
Presiden Ghana Nana Akufo-Addo mengutuk pembunuhan tersebut dan berharap agar polis dapat menangkap pembunuh terbabit secepat mungkin. – MalaysiaGazette