KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) menyambut baik cadangan kerajaan menyekat remaja berumur 18 tahun ke bawah dari berkeliaran pada waktu malam sebagai langkah mengatasi masalah remaja.
Bagaimanapun, Ketuanya, Senator Nuridah Salleh berkata, idea perintah berkurung itu telah terlebih dahulu dikemukakan kerajaan Pas Kelantan yang menyatakan kesediaan untuk mengkaji dengan lebih terperinci pelaksanaan perintah itu.
“Ia merupakan salah satu cara terbaik bagi mendidik golongan di awal remaja bagi mengatasi masalah sosial yang bukan hanya isu menghidu gam, malah masalah sosial lain seperti dadah, rogol dan lain-lain lagi dapat dikurangkan.
“Berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) lebih 2,000 pelajar dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan 3,980 daripada 13,831 remaja mengandung anak luar nikah,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan perintah berkurung bagi remaja berusia di bawah umur 18 tahun tidak berada di luar rumah selepas jam 12 malam.
Menurut beliau, ia bagi menangani masalah sosial yang kian meruncing melibatkan golongan berkenaan dan pelaksanaan perintah berkurung boleh mengurangkan jumlah remaja yang terjebak dalam masalah sosial terutama kes berkaitan dadah.
Jelas Nuridah, melalui pelaksanaan perintah berkurung itu, ia mampu mencegah masyarakat di awal remaja terlibat dengan pelbagai gejala sosial pada masa hadapan.
Kata beliau, pelaksanaan itu boleh dilakukan secara berperingkat bagi menguji keberkesanannya dengan menjalankan ujian ke atas lima negeri tertinggi kes jenayah sosial antaranya Selangor.
“Sebab itu, langkah ini jalan terbaik kepada golongan di awal remaja kerana mereka bukan sahaja senang dipengaruhi, malah masih memerlukan perhatian dan bimbingan terutama dari ibu bapa,” katanya. – MalaysiaGazette