GEORGETOWN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah kereta bersama pemandunya yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, awal pagi semalam disambung semula pukul 7 pagi hari ini.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 ACP Rosman Ismail berkata operasi SAR yang ditamatkan kira-kira pukul 7 petang semalam dan bermula pagi ini dengan kekuatan kira-kira 30 pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin dengan kerjasama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.
“Selain itu, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) turut terlibat dalam operasi hari ini dan sebanyak lima buah bot masing-masing dua dari Polis Marin dan JBPM serta sebuah dari APMM,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, operasi SAR hari ini diperluaskan di kawasan 40 meter persegi radius berbanding 25 meter persegi radius semalam bagi mencari kereta jenis utiliti sukan Mazda CX-5 yang terhumban itu.
“Selain itu, empat anggota pasukan penyelam Polis Marin turut menyelam bagi mencari kereta dan pemandunya,” katanya.
Rosman berkata operasi SAR dihentikan pada pukul 7 petang semalam berikutan keadaan cuaca yang semakin gelap sebelum disambung semula pagi ini.
“Kami harap operasi SAR hari ini berjalan lancar dan dapat menemui kereta berkenaan,” katanya.
Dalam kemalangan pukul 2.54 pagi itu, sebuah kereta terhumban ke dalam laut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, dekat sini awal pagi semalam.
Pemandu kereta yang terhumban ke dalam laut itu adalah seorang lelaki dikenali sebagai Moey Yun Peng berusia 20 tahun dan merupakan pelajar sebuah kolej swasta. – MalaysiaGazette