GEORGE TOWN – Mayat mangsa dalam kemalangan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut Ahad lepas ditemukan dalam keadaan masih sempurna biarpun sudah terperangkap di dalam kenderaan itu hampir tiga hari.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasagaran berkata mayat pelajar kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, masih berada di tempat duduk pemandu semasa kenderaan itu berjaya dikeluarkan dari laut kira-kira pukul 6.00 petang tadi di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang di sini.

“Kereta remuk teruk akibat kemalangan, namun (keadaan) fizikal mangsa masih sempurna dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.

Katanya operasi untuk mengeluarkan kenderaan itu mengambil masa selama tiga hari dan berdepan beberapa kesukaran yang antaranya termasuk faktor cuaca dan arus laut yang deras.- BERNAMA

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/22/faktor-keselamatan-sebabkan-usaha-naikkan-kereta-ambil-masa/

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast