KUALA LUMPUR –Lim Kit Siang dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan bagi penyakit alahannya dengan agenda penyatuan Melayu dan Islam antara Pas dengan UMNO.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, jika Penasihat DAP itu membiarkan penyakit alahan membarah dalam jiwanya, ia mungkin boleh menyebabkan ‘kematian’.
“Dia sangat tahu akan bahaya alergi (alahan) ini terhadap kesinambungan hayat politik diri dan partinya kerana dia sudah menghidapinya sejak lama dahulu lagi.
“Putusnya hubungan Pas dengan DAP selama ini pun kerana alergi ini. Sebab itu Kit Siang mahu DAP hanya berkawan dengan parti yang tiada atau tidak kuat aspirasinya untuk menyatukan orang Melayu dan memartabatkan Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Menurut Dr Mohd Khairuddin, menjelang semakin dekatnya hari membuang undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highland Sabtu ini yang menyerlahkan lagi agenda Melayu dan Islam menerusi kerjasama Pas dan Barisan Nasional (BN), Kit Siang tiada pilihan selain mencipta pembohongan demi merawat alergi yang sedang dihadapinya.
Namun, katanya, nampak hodoh dan bodoh pembohongan pemimpin veteran DAP itu yang mengatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah merayu untuk menjadi calon Perdana Menteri.
“Kit Siang seumpama merawat sakitnya dengan mengambil ubat tanpa nasihat daripada doktor dan ahli farmasi ataupun yang memberikan nasihat kepadanya itu juga orang yang rendah ‘intelligence quotient’nya.
“Semua orang tahu Abdul Hadi bukan jenis orang yang kemaruk kuasa. Sangat dimuliakan dan dihormati oleh ahli parti sendiri pun beliau sudah kurang selesa, apa lagi untuk meminta menduduki kerusi nombor satu dalam kerajaan yang tidak selari dengan etika Islam.
“Apabila tokoh lain mencadangkan nama beliau sebagai calon Perdana Menteri pun beliau menolaknya kerana lebih mahu ke laut menjadi nelayan,” ujarnya.
Kata beliau, walaupun ramai orang dan banyak pihak mengakui kelayakan dan kemampuan Abdul Hadi, namun begitulah sikap beliau terhadap jawatan selari dengan prinsip Islam dalam hal ini.
“Itulah rendah dirinya manusia yang sangat dibenci Kit Siang dan DAP ini,” katanya.
Dr Mohd Khairuddin berkata, Pas bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja sama ada dengan UMNO atau DAP, asalkan dasar, tujuan dan usaha Pas seperti termaktub dalam perlembagaannya dihormati.
Kata beliau, asas kerjasama itu adalah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah.
Menurutnya lagi, bekerjasamanya Pas dengan DAP sebelum ini adalah atas dasar kesediaan parti cauvinis itu menerima aspirasi politik Islam yang dibawa oleh Pas.
“Dan berpecahnya Pas dengan DAP kerana DAP menolak serta menentang aspirasi itu.
“Demikian juga kerjasama Pas dengan UMNO. Pernah bersama pada 70-an atas semangat perpaduan Islam dan sekarang kembali bersama pasca kejatuhan UMNO, lalu menjadi pembangkang atas semangat yang sama.
“Oleh kerana DAP alergi sangat dengan agenda Melayu dan Islam, selama itulah Kit Siang dan DAP akan terus bermusuhan terhadap Pas,” katanya. – MalaysiaGazette