KUALA LUMPUR – Pengundi-pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands diminta menghukum calon DAP ekoran sikap bongkak Pakatan Harapan yang mengamalkan double standard terhadap pembangkang.
Veteran UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, bukti cukup jelas sepanjang kempen PRK Cameron Highlands bahawa Pakatan Harapan secara terang-terangan menyalahguna kuasa dan memberi rasuah.
Gambar dan video menjadi tular sebagai bukti namun tiada tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dan Bersih.
Sedangkan, sebelum ini mahkamah membatalkan kemenangan Datuk C Sivarraajh atas tuduhan rasuah.
“Inilah praktis ketidakadilan yang mengancam keadilan di Malaysia.
“Bukti paling jelas dan kuat ialah penggunaan kenderaan Jabatan Perhutanan Pahang. Ia memang ada niat menipu kerana logo Jabatan Hutan ditutup dua lapis dengan logo PH dan bendera Malaysia. Dan terdapat pula bahan bahan kempen parti DAP di dalamnya.
“Kalau gentleman kenapa logo Jabatan Hutan mesti ditutup. Bukan itu sahaja MP Raub Tengku Zulpuri Shah dari DAP secara samseng mempertahankan tindakannya itu dengan membuat kecoh di tempat penginapan jentera BN.
“Lim Kit Siang pula mendakwa duit yang di bagi adalah duit minyak. Itu jawapan untuk menghalalkan rasuah. Kalau begitu kenapa pula Sivarraajh dijatuhkan hukuman bersalah,” kata Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu.
Beliau berharap pengundi Cameron Highland termasuk masyarakat Orang Asli akan menghukum kerajaan Pakatan Harapan yang bongkak itu dengan mengundi calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Nor. – MalaysiaGazette