Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perikanan Malaysia (FRI) akan membuat kajian berhubung kebanjiran spesies ikan bandaraya atau Amazon Sailin Catfish di perairan umum.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya menyokong usaha itu termasuk menyarankan orang ramai agar tidak melepaskan atau membuang spesies pterygoplichthys yang dianggap sebagai ikan asing itu dalam perairan negara.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan kesan daripada aktiviti tersebut yang boleh menjejaskan biodiversiti spesies ikan tempatan lain, yang menjadi mata pencarian utama nelayan.

“Kita menyokong penuh maklum balas Jabatan Perikanan Malaysia dan usaha yang dijalankannya bagi menyelamatkan kerosakan biodiversiti akibat daripada gangguan spesies asing itu,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Ikan bandaraya juga dikenali sebagai tombot atau Amazon Sailin Catfish.
Ikan bandaraya juga dikenali sebagai tombot atau Amazon Sailin Catfish.

Menurut Muhammad Faiz, ikan bandaraya yang turut dikenali sebagai tombot adalah spesies ikan yang sangat popular untuk dibela dalam akuarium kerana sifat semula jadinya mampu membersihkan akuarium dari tangki dengan memakan alga serta saki baki makanan ikan dan bangkai ikan yang mati.

Susulan itu, jelas beliau, peningkatan populasi ikan itu disebabkan ianya telah dilepaskan ke perairan umum yang memberikan kesan jangka pendek dan jangka panjang seperti kerosakan habitat perikanan, persekitaran akuatik dan biodiversiti ikan air tawar di Malaysia, seterusnya menjejaskan pendapatan nelayan darat khususnya.

“Kebanjiran populasi ikan bandaraya di perairan umum negara telah menjejaskan pendapatan nelayan darat dengan pengurangan hasil tangkapan dan kerosakan pukat.

“Ikan ini juga menjejaskan ekosistem sungai, di mana ianya didapati memakan tumbuhan akuatik yang diperlukan bagi beberapa spesies ikan air tawar untuk habitat pembiakannya,” kata beliau.

Selain itu, kata beliau, ikan bandaraya juga pemangsa kepada larva ikan di perairan berkenaan dan seterusnya menjejaskan kelestarian populasi ikan air tawar tempatan.

Bagaimanapun, jelasnya, pada masa ini tiada data berkenaan populasi ikan berkenaan dicatatkan.

Sehubungan itu, beliau menyokong saranan DOF untuk cadangan pindaan Kaedah-Kaedah Peraturan Perikanan (sungai) bagi mengelakkan keadaan itu berterusan dan menjamin kelestarian sumber perikanan darat terpelihara. – MalaysiaGazette