KUALA LUMPUR – Kertas siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijangka dapat dilengkapkan sepenuhnya pada Mac ini, kata Ketua Polis Negara.
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan masih diteruskan secara menyeluruh melibatkan semua aspek dan akan dilengkapkan mengikut tempoh masa yang diberikan.
“Bukan Julai..tarikh saya tak ingat tapi sebenarnya perlu dilengkapkan menjelang Mac ini. Jadi, kita sedang mempergiatkan siasatan berterusan, akan dilengkapkan secepat mungkin.
“Kita sentiasa mengadakan mesyuarat mingguan bulanan dalam perkara ini proses berterusan yang saya tidak boleh memperincikan lagi.
“Bila siap sahaja kertas itu saya akan beri kepada Timbalan Pendakwaraya atau Peguam Negara dan mereka akan beri arahan selanjutnya dan kami akan tunggu arahan dari mereka,’ katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Ronda Cegah Jenayah melibatkan Pelatih Pulapol bersama Ketua Polis Negara di Berjaya Times Square di sini hari ini.
Beliau turut diminta mengulas mengenai serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Firma Guaman Rahmat Lim Partners untuk mencari dokumen berkaitan 1MDB dan berkata;
“Saya tidak dimaklumkan lagi oleh pegawai saya mengenai serbuan itu tetapi arahan telah kita keluarkan kalau ada keperluan untuk siasatan maka saya rasa tiada masalah pun.
“Lagi pun, serbuan itu adalah sebahagian daripada proses penyiasatan kami dan tidak salah kalau diserbu kerana ia bukan sesuatu yang ganjillah..serbuan itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada,” tegas beliau.
Sebuah portal berita kewangan melaporkan hari ini mengenai serbuan itu yang masih berterusan sehingga sekarang sejak pagi tadi.
Perkara itu juga disahkan oleh Pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin bahawa ia dilakukan di firma yang terletak di Mid Valley City, Bangsar.
Terdahulu, The Edge melaporkan polis mencari dokumen berkaitan tiga bon 1MDB yang dikendalikan oleh Goldman Sachs selepas mereka memperoleh perintah mahkamah untuk menyerbu premis itu.
Rahmat Lim & partners dikatakan merupakan firma guaman yang mewakili gergasi perbankan pelaburan Amerika Syarikat itu semas terbitan bon 1MDB pada tahun 2012 dan 2013 berjumlah AS$6.5 bilion.
Saiful bagaimanapun enggan memperincikan butiran mengenai pencarian itu. – MalaysiaGazette