Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diiringi isterinya Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan untuk beredar selepas Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang Keenam di Istana Abu Bakar, Pekan Pahang. foto MALAYSIA GAZETTE, 15 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempersembahkan ucapan tahniah dan syukur atas pelantikan Sultan Pahang, Tuanku Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Ketua Penerangannya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, Presiden bersama kepimpinan peringkat pusat dan negeri serta warga Perkasa di seluruh negara sukacita dengan kelancaran pelantikan itu.

Katanya, rakyat jelata juga berasa gembira dan sukacita dengan pelantikan Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong, yang muda serta penuh bertenaga.

“Selaku pertubuhan pribumi yang menjunjung tinggi kelangsungan Kesultanan Melayu sebagai teras utama politik negara menerusi konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, Perkasa merasa bangga dan bertuah di atas perlantikan Tuanku.

“Sesungguhnya, institusi Yang di-Pertuan Agong ini adalah unik, kerana ia bukanlah amalan di negara beraja lain di dunia.

“Ia tidak melalui sistem undian oleh rakyat dan bukan juga diwarisi secara keturunan melainkan penggiliran dari kalangan sembilan Raja-Raja Melayu yang dipilih setiap lima tahun sekali,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Nasrul Ali Hasan
Nasrul Ali Hasan

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang berlangsung di Istana Negara hari ini bersetuju memilih Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 16 dan baginda akan memulakan tugas itu pada 31 Januari ini.

Menurut kenyataan rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, tarikh itu diputuskan setelah semua lapan Raja-Raja Melayu, kecuali Sultan Kelantan tidak hadir, selesai bermesyuarat tengah hari tadi.

Majlis Raja-Raja juga bersetuju untuk menyatakan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak Darul Ridzuan telah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong selama tempoh lima tahun bermula dari tarikh 31 Januari ini.

Menurut Nasrul Ali Hasan, Tuanku Sultan Abdullah merupakan seorang raja yang diibaratkan pepatah Melayu, telah jauh berjalan dan luas pengalaman serta telah menerima pelbagai disiplin pendidikan sama ada dari institusi pendidikan dalam mahupun luar negara dalam memperlengkapkan diri menjadi seorang raja.

Katanya, dengan pengalaman luas dan berpandangan jauh lagi saksama yang dianugerahkan Allah kepada Tuanku, rakyat Malaysia akan terus bersatu, makmur, maju dan aman damai dengan agama Islam selaku agama Persekutuan mengambil tempat yang selayaknya.

“Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa dan sekalian ahlinya ingin menyembah taat setia Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan memperbaharui ikrar mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan.

“Selagi ada bulan dan matahari, begitulah kesetiaan rakyat kepada raja dan negara kekal abadi.

“Institusi Raja Melayu bagaikan sauh, agar bahtera bangsa tidak dihanyutkan oleh taufan dan badai. Sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia juga amat tertib menurut lunas-lunas yang ditetapkan, di atas roh juga semangat bahawa raja dan rakyat berpisah tiada,” katanya.

Atas sebab itu, kata beliau, Perkasa akan seiringan dan bersama mempertahan serta memelihara kemuliaan Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu di bawah pimpinan Tuanku.

Jelas beliau, turut gembira dan bersyukur atas pelantikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Sultan Azlan Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu.

“Perkenan kekanda Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu memilih Tuanku Sultan Perak selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong besar ertinya terhadap kedaulatan dan kebesaran Tuanku.

“Perkasa penuh yakin, Ke Bawah Duli Tuanku mampu memberi makna kepada kesaksamaan kemajuan wilayah dan mengharumkan nama negara ini dengan hemah, prihatin, bijaksana, berjiwa rakyat, mempunyai visi yang dinamik, berjiwa agama dan berdedikasi,” katanya.

Nasrul Ali Hasan berkata, Perkasa turut merakamkan junjungan kasih yang tidak terhingga Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong ke-15, Tuanku Sultan Muhammad V atas khidmat baginda yang cemerlang.

“Semoga Allah melanjutkan usia baginda dalam keadaan sihat dan afiat serta diberikan hidayah dan taufik yang berterusan. Seterusnya memberikan ganjaran atas khidmat baginda dengan ganjaran yang berlipat ganda,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast