Datuk Azih Muda.
Datuk Azih Muda

KLANG – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyasarkan sejumlah 700,000 penjawat awam di seluruh negara akan menyertai polisi perlindungan takaful CUEPACSCare menjelang akhir tahun ini.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai berikutan terdapat peningkatan kesedaran dalam kalangan penjawat awam mendapatkan perlindungan kesihatan dan kemalangan tambahan untuk diri dan keluarga.

“Sejak polisi ini diperkenalkan pada 20 tahun lepas, rekod menunjukkan hanya 400,000 penjawat awam sahaja yang mendaftar setakat ini.

“…dan menjelang akhir tahun ini, kita sasar jumlah ini bertambah 300,000 lagi yang mendaftar dengan polisi ini menjadikan 700,000 orang daripada 1.6 juta bilangan penjawat awam di negara ini,” katanya kepada pemberita pada program latihan keusahawanan myCuepacsCare di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Medicare Assistance Sdn. Bhd. (Medicare) K. Palanisamy.

Azih berkata, takaful CUEPACSCare merupakan program kerjasama antara CUEPACS dan Medicare sejak 1999.

Mengulas lanjut, beliau menyeru kepada semua penjawat awam menyertai program takaful itu sebagai alternatif mendapatkan rawatan kesihatan di hospital swasta pada kadar mampu.

“Menerusi takaful ini, penjawat awam ditawarkan takaful penghospitalan dan pembedahan serendah RM32 untuk individu manakala RM85 bagi pakej keluarga (sebulan) di hospital swasta.

“Langkah ini perlu supaya penjawat awam boleh menerima rawatan segera di hospital swasta sekiranya tiada kekosongan wad atau katil di hospital kerajaan,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast