KELANA JAYA – Lim Guan Eng mempersoalkan tuduhan oleh UMNO tentang skim mySalam yang didakwa bakal mengancam perkhidmatan kesihatan.
Menteri Kewangan itu berkata, skim insurans itu sepatutnya diterima baik kerana ia bertujuan membantu golongan B40 mendapatkan rawatan bagi 36 penyakit kritikal yang disenaraikan di hospital kerajaan.
“Saya nak tegaskan ini (skim) tidak akan memberikan kesan terhadap kesihatan awam kerana hanya mereka yang masuk wad di hospital kerajaan sahaja yang layak.
“Saya tak faham mengapa ada pihak parti lawan ini kata akan mengancam struktur perkhidmatan hospital kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-37 tahun 2019.
Justeru beliau yakin hospital kerajaan akan dikunjungi oleh lebih ramai golongan B40 untuk mendapatkan rawatan tertentu berbanding hospital swasta.
“Yang mungkin berlaku adalah lebih banyak yang akan pergi ke hospital kerajaan tapi B40 mereka sekarang sudah pun memang dapatkan rawatan di hospital kerajaan, tidak ada beza.
“Takkan B40 pergi ke hospital swasta. Jarang pun. Saya lihat ini inisiatif baik untuk bantu B40, kenapa parti lawan menentang usaha murni ini?Ini yang saya kurang faham,” katanya lagi.
Semalam Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mySalam tidak sepenuhnya selari dengan prinsip perlindungan kesihatan sejagat yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ini kerana, berdasarkan prinsip itu, mySalam tidak insklusif memandangkan ia hanya merangkumi 3.69 juta orang dari kumpulan B40.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan bagaimana dengan kelompok M40 yang turut berdepan dengan kekangan kewangan dalam mendapatkan perkhidmatan kewangan.
Guan Eng ketika mengulas isu itu tidak menjelaskan persoalan Khaled tentang kelompok M40.
Dalam pada itu katanya Kementerian Kewangan meluluskan sejumlah peruntukan yang besar untuk Jabatan Kastam bagi menaik taraf mesin pengimbas kontena di pintu masuk utama dan pembelian bot peronda di sempadan negara.
Tetapi jumlahnya tidak boleh diumumkan kerana proses tender terbuka perlu dilakukan terlebih dahulu.
“Saya tidak sebut (jumlah) sebab kena lihat tender terbuka, kita nak lihat harga yang paling cantik. Pada masa yang sama kita hendak menjemput Request of Proposal (RFP) supaya sekiranya kos pembelian adalah terlalu tinggi, maka kita boleh menimbang.
“Itu suatu teknologi canggih dan mahal juga itu satu pelaburan yang agak tinggi untuk kerajaan tapi kerajaan rasa perlu supaya kita dapat memastikan kawasan sempadan kita selamat, tapi perlu nilai sama ada perlu beli atau sewa dulu,” katanya. -MalaysiaGazette